Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Lanjut Permohonan GKP

By 23 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan beberapa inisiatif dan bantuan tambahan khusus untuk rakyat bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN, yang dikenali sebagai KITA PRIHATIN dalam mengatasi cabaran-cabaran yang menggugat kesejahteraan rakyat dan negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pakej rangsangan ini melibatkan kelompok golongan B40 yang berkeluarga dan bujang, golongan M40 yang berkeluarga dan bujang, golongan pekerja negara dalam pelbagai bidang dan golongan peniaga mikro dalam pelbagai bidang.

“Kerajaan menyediakan sejumlah RM15.3 bilion bagi membiayai program subsidi upah kepada sehingga 3.3 juta orang pekerja. Sehingga 11 September 2020, seramai 2.63 juta orang pekerja dan lebih daripada 321 ribu majikan telah mendapat manfaat daripada pemberian subsidi upah ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM10.4 bilion.

“Permohonan untuk program subsidi upah adalah untuk tempoh enam bulan bermula semenjak 1 April 2020 dan terbuka kepada semua sektor,” katanya ketika Siaran Langsung Pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: KITA PRIHATIN, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan Geran Khas PRIHATIN atau GKP untuk membantu golongan peniaga mikro khusus dalam membantu mereka meringankan beban kewangan akibat penularan pandemik COVID-19.

“Permohonan untuk GKP yang telah dibuka pada 1 hingga 15 Mei 2020 dengan kadar bantuan berjumlah RM3,000 setiap peniaga mikro telah memanfaatkan 545 ribu peniaga kecil seluruh Negara dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.63 bilion telah diberikan.

“Untuk memastikan lebih ramai peniaga mikro yang layak tetapi masih belum berkesempatan untuk mendapatkan GKP, kerajaan bersetuju membuka semula permohonan GKP mulai 1 hingga 31 Oktober ini.

“Mengambil kira maklumbalas yang diterima, GKP akan dibuka kepada peniaga mikro yang berdaftar atau memegang lesen berniaga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Pihak Berkuasa Tempatan sehingga 31 Ogos ini dengan bayaran disasarkan akan dibuat mulai 25 November ini,” katanya.

Pembukaan semula inisiatif GKP untuk permohonan baharu dijangka dapat memanfaat lebih daripada 200,000 peniaga mikro dengan melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM 600 juta.

Tinggalkan komen anda