Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Golongan Belia Disaran Libatkan Diri dalam Aktiviti Bermanfaat

By 23 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Zulkifli Othman (Dungun)

DUNGUN, 23 Sep (MalaysiaAktif) – Golongan belia di daerah ini disarankan melibatkan diri dalam program yang bermanfaat dalam usaha menghindarkan diri daripada perkara tidak berfaedah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura Wan Hapandi Wan Nik, berkata penglibatan belia dalam program yang boleh mendatangkan manfaat seperti program keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan adalah salah satu usaha untuk menghindarkan golongan belia daripada terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah mahupun masalah sosial lain.

“Para belia dan beliawanis seharusnya menghindarkan diri mereka daripada perkara yang boleh membinasakan diri, keluarga, agama mahupun negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik melawat gerai pameran kuih tradisional dalam Program Belia Jiwa Merdeka, di Kuala Dungun, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik melawat gerai pameran kuih tradisional dalam Program Belia Jiwa Merdeka, di Kuala Dungun, baru-baru ini.

“Program-program keagamaan bagi mengisi keperluan rohani dan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong perlu disertai bagi mengelakkan diri terjebak dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian penutup Program Belia Jiwa Merdeka, di Kuala Dungun, baru-baru ini.

Mengulas mengenai program tersebut, Pengerusi Majlis Belia Dungun, Mohd Asmadi Khalid berkata, program ini bertujuan memupuk perpaduan dan kerjasama para belia daerah Dungun di samping menyemai sikap bertanggungjawab sebagai seorang warganegara yang akan memakmurkan negara pada masa akan datang.

Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pengerusi Majlis Belia Dungun Mohd Asmadi Khalid menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil agensi yang terlibat.

Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pengerusi Majlis Belia Dungun Mohd Asmadi Khalid menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil agensi yang terlibat.

Terdapat dua aktiviti dijalankan dalam program tersebut iaitu Pertandingan Kacau Bubur Asyura dan berkayak yang melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) daerah.

“Sambil menanti peserta kayak sampai ke destinasi jeti Kuala Dungun, pertandingan Kacau Bubur Asyura dijalankan di Pekarangan jeti Kuala Dungun disertai oleh Badan Beruniform Pergerakan Puteri Islam Malaysia Daerah Dungun, Persatuan Nelayan Daerah Dungun, Penggerak Komuniti Negara Daerah Dungun, Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Dungun.”

“Sebanyak 500 bekas bubur asyura telah dimasak secara bergotong royong melibatkan 150 peserta dan diagihkan kepada penduduk setempat daerah ini,” katanya.

Peserta berkayak sejauh 24 km sepanjang Sungai Dungun bermula dari Lubuk Delong, Dungun dan berakhir di Jeti Slipway Kuala Dungun.

Peserta berkayak sejauh 24 km sepanjang Sungai Dungun bermula dari Lubuk Delong, Dungun dan berakhir di Jeti Slipway Kuala Dungun.

Pada program tersebut, seramai 60 peserta dari badan gabungan serta pelajar pengajian tinggi di sekitar Dungun telah menyertai aktiviti berkayak sejauh 24 kilometer sepanjang sungai Dungun bermula dari Lubuk Delong, Dungun dan berakhir di Jeti Slipway Kuala Dungun.

Terdahulu, pelepasan aktiviti kayak ini telah disempurnakan oleh ADUN Bukit Besi Roslee Daud.

Program ini dimeriahkan dengan kehadiran Wakil Majlis Belia Malaysia Naib Presiden, Mohd Izzat Afifi, Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirullah dan Pengerusi 4B Negeri Terengganu Shahril Marzuki.

-ii-

Tinggalkan komen anda