Skip to main content
HomePutrajaya

31 Menara Baharu Perkhidmatan 4G Di Sarawak Dalam Pelaksanaan

By 23 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak 31 menara baharu untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G sedang dalam peringkat pelaksanaan di Sarawak bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan di negeri itu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata semua menara itu  dijangka siap dan beroperasi secara berperingkat bermula suku pertama 2021.

Menurutnya di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diumumkan 29 Ogos lepas, sejumlah 636 menara baharu akan dibina di Sarawak.

“Pembinaan menara-menara berkenaan dijalankan menerusi program Perkhidmatan Pemberian Sejagat (PPS) bagi memperluas liputan jalur lebar mudah alih dengan teknologi 4G, manakala 1,043 alat pemancar komunikasi sedia ada akan dinaik taraf melalui program PPS.

“Selain itu, pihak pemain industri juga akan membina 49 menara baharu serta menaik taraf 825 alat pemancar komunikasi sedia ada secara komersial,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Zahidi berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Zaiedi Suhaili yang mahu tahu prestasi liputan terkini perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi semua daerah di Sarawak dan sejauh mana usaha dipergiatkan untuk merapatkan jurang digital negeri itu dengan Lembah Klang.

Sementara itu, Zahidi berkata perhatian turut diberikan kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap di Sarawak dengan sejumlah 43,013 premis kediaman dan komersial akan tersedia dengan capaian Internet melalui teknologi gentian optik, dan jumlah itu akan diselaraskan dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, usaha bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara bagi merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar bukan sahaja melibatkan Kerajaan Persekutuan, malah memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

“(Ini) termasuk di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, untuk pemudahcaraan proses-proses perolehan dan kelulusan tapak yang terlibat,” katanya.

Jelasnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri Sarawak iaitu Sarawak Multimedia Authority (SMA) bagi menambah baik liputan dan kualiti jalur lebar di negeri itu.

“Semasa sesi kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) pada 10 Julai yang lepas, beberapa persetujuan penting telah dicapai, antara lain adalah untuk mengeratkan kerjasama bersama pihak SMA dari segi perancangan dan memudah cara proses kelulusan pembinaan untuk mempercepat pembinaan infrastruktur digital,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda