Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

‘Hiking Merdeka’ Zahir Semangat Kemerdekaan Tiga Kampung

By 3 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Saberiya Patiroi/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 3 Sep (Malaysiaaktif) – Dengan semangat Malaysia Prihatin, tiga buah kampung di kawasan Inanam mengadakan program Hiking (kembara) Merdeka bagi merayakan Bulan Kebangsaan yang diselaras oleh Ketua Kampung Bambangan Baru, Johnny Gousin.

Menurut Johnny, program tersebut diadakan bagi menzahirkan semangat cintakan negara dengan membawa slogan “Malaysia Sayang Kita, Kita Sayang Malaysia”.

“Seramai lebih kurang 40 orang peserta menyertai program ini yang merangkumi Kampung Kobuni, Kampung Bambangan Baru dan Kampung Poring-poring sempena Program Merdeka@Komuniti Kampung Kobuni, Inanam anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kota Kinabalu.

“Selain Kembara Merdeka ini, peserta turut disajikan dengan pengisian ilmu melalui sesi taklimat ringkas berkenaan dengan kepentingan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, siri maklumat COVID-19 daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta ceramah kemerdekaan daripada Jabatan Penerangan Negeri Sabah,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Peserta bergambar kenangan setelah berjaya menamatkan kembara.

Peserta bergambar kenangan setelah berjaya menamatkan kembara.

Salah seorang peserta, Stephanie James, 48, berkata penduduk kampung sangat teruja dan bersemangat meraikan Hari Kebangsaan pada tahun ini sehinggakan ada dalam kalangan peserta bersedia seawal pukul lima pagi.

“Kawasan perkampungan yang menerima jolokan ‘Mini Kundasang’ ini membawa peserta menyusuri kawasan berbukit bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan selain menyerahkan Jalur Gemilang kepada penduduk di sepanjang laluan,” katanya.

Manakala penduduk asal Kampung Kobuni, James Muda, 66, pula berpendapat program yang ditunjangi cintakan tanahair ini wajar diteruskan kerana ia merupakan program yang julung kali diadakan di sini.

“Walaupun perjalanan pendakian sangat mencabar namun penduduk kampung yang menyertai amat teruja apabila program ini turut mendapat sokongan dan bantuan daripada agensi kerajaan.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Klinik Kesihatan Luyang, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Perangkaan dan semua agensi yang terlibat bekerjasama dengan penduduk kampung,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda