Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

JaPen Melaka Perintis Program Pembangunan Data Raya

By 11 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: M Zakry Chan/Fariza Farnoh (Melaka)

AYER KEROH, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka (JaPen Melaka) menjadi perintis pelaksanaan program Data Raya Citizen Star dalam merekod dan menyimpan apa jua data penyertaan rakyat Melaka dalam jangka masa panjang dan seterusnya memberi manfaat kepada perlaksanaan program yang lebih tersasar.

Sistem Citizen Star merupakan profil digital rakyat yang komprehensif bagi mendigitalkan setiap penyertaan dan kejayaan seseorang yang telah menyumbang masa, tenaga dan sumber bagi menyokong usaha positif kerajaan dan Civil Society Organisation (CSO) dalam membantu kearah pembangunan masyarakat dan negara.

Menurut Pengarah Penerangan Negeri Melaka Mohd Rizal Hashim, hampir 90 peratus program-program JaPen adalah berbentuk bersemuka oleh itu amat bertepatan bagi penyediaan platform bagi projek perintis ini.

“Penyimpanan data aktiviti dan penyertaan serta melihat tahap keberkesanan program yang telah dijalankan amat penting bagi kami di samping dapat memberi pengiktirafan kepada masyarakat yang sukarela memberi kerjasama menjayakan sesuatu program berkenaan,” ujarnya ketika Majlis menandatangani Letter of intent (LOI) di antara Jabatan Penerangan Melaka bersama Citizen Star Sdn. Bhd bertempat di Menara Persekutuan, Ayer Keroh di sini, Isnin lalu.

Manakala bagi pengasas Citizen Star Imraan Abdul Rahim, idea dan aspirasi penubuhan ini diinspirasikan daripada semangat bersatu padu dan sikap saling bantu membantu rakyat ketika musibah melanda samaada dalam negara mahupun luar negara. Ia terbukti melalui sikap terpuji rakyat Malaysia tidak mengira agama, bangsa dan usia ketika negara menghadapi krisis pandemik terburuk dunia COVID- 19.

“Diharap dengan kerjasama ini bakal menyaksikan satu perkembangan positif penyimpanan data penyertaan setiap rakyat Malaysia secara bersistematik, maya, senang dicapai dan dibuktikan dalam apa jua urusan pada masa akan datang,” ujar Imraan.WhatsApp Image 2020-09-07 at 17.23.52

-KN

Tinggalkan komen anda