
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)
SEBERANG JAYA, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Seberang Perai Tengah menganjurkan Program Sesi Maklum Balas Rakyat Berhubung Draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021 – 2025 bertemakan “Berfikir Perpaduan Bersama Rakyat” yang dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dan pemimpin komuniti.
Menurut Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah Kamarul Haizal Koderat, program bertujuan mengumpulkan data tentang kefahaman rakyat, mendapat cadangan program dan aktiviti yang perlu dilaksanakan untuk mencapai setiap cita-cita Rukun Negara dan bagi mendapatkan maklum balas rakyat untuk pengukuhan draf dokumen PTPN 2021-2025 Kementerian Perpaduan Negara.
“Sesi tersebut adalah kaedah praktikal untuk mendapat maklumbalas pelbagai lapisan masyarakat akar umbi dan bersesuaian dalam suasana mematuhi SOP yang ditetapkan demi pembangunan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN).
“Remaja sekarang terlalu leka dengan media sosial sehingga mengabaikan bersosial, berinteraksi, berkomunikasi dalam kalangan keluarga, dan kaum,” ujarnya.
Pengisian Sesi maklumbalas diadakan secara bersama-sama dengan pemudahcara menggunakan dua kaedah pelaksanaan iaitu melalui secara manual dengan mengisi borang atau melalui secara imbasan Kod QR dan terus menjawab soalan secara atas talian dengan mudah dan pantas.
Namun, pihak urusetia tetap menjadi pemudah cara jika wakil-wakil jabatan atau komuniti memerlukan bantuan mereka.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Perpaduan Negeri Pulau Pinang Othman Saad dan Pegawai Perpaduan Daerah Seberang Perai Tengah Suria Baharum.
-ii-