Skip to main content
HomePutrajaya

Ketibaan Pelancong Antarabangsa Berkurangan 68.2 Peratus Jan-Jun 2020

By 8 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 4,252,997 pelancong antarabangsa direkodkan tiba ke negara ini pada separuh tahun pertama 2020, iaitu penurunan sebanyak 68.2 peratus, berbanding 13.3 juta pelancong yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas, demikian menurut Tourism Malaysia.

Menurutnya, perbelanjaan pelancong dalam tempoh berkenaan (Jan-Jun 2020) direkodkan ialah RM12.5 bilion, turut menunjukkan penurunan sebanyak 69.8 peratus berbanding RM41.6 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Perbelanjaan per kapita turut mencatat penurunan sebanyak 5.3 peratus dari RM3,121.60 pada tahun 2019 ke RM2,956.10 pada tahun ini,” kata agensi penggalakan pelancongan itu dalam kenyataan hari ini.

Tourism Malaysia berkata sepuluh pasaran utama pelancongan antarabangsa ke Malaysia adalah Singapura (1,541,820), Indonesia (702,082), China (401,285), Thailand (348,133), India (153,873), Brunei (135,593), Korea Selatan (118,594), Jepun (73,201), Australia (72,103) dan Filipina (64,311).

Menurutnya, ketibaan pelawat harian di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,712,140 pelancong dari Januari hingga Jun 2020, menurun 64.2 peratus berbanding 4,782,587 orang yang telah melawat Malaysia bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Penurunan yang ketara bagi jumlah ketibaan pelancong dan pelawat harian ini adalah disebabkan faktor penutupan pintu-pintu sempadan Malaysia berikutan penularan pandemik COVID-19,” kata Tourism Malaysia.

Selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus COVID-19 sebagai satu pandemik pada 11 Mac, kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang kemasukan pelancong antarabangsa sejak 18 Mac.

Menurut Tourism Malaysia, kesan pandemik kepada sektor pelancongan turut dilihat di luar sempadan Malaysia, dengan negara Asean lain juga merekodkan penurunan mendadak dari segi pencapaian pelancongan.

Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia mencatatkan pertumbuhan negatif disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan dalam usaha membendung penularan pandemik di negara masing-masing, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda