Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kompang Tradisi Warisan Budaya

By 14 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 14 Sept ( Malaysiaaktif ) – Kompang merupakan alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu di Malaysia dan sering dimainkan pada majlis perkahwinan, upacara-upacara tradisi dan juga sebagai acara sambutan pembukaan sesuatu majlis keraian.

Menurut Pegawai Daerah Kota Tinggi Farizal Ismail, Pertandingan Kompang Tradisi yang telah di adakan di daerah Kota Tinggi baru-baru ini merupakan acara tahunan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan di mana ia merupakan platform terbaik untuk mengangkat martabat alat muzik tradisional yang di warisi agar dikenali masyarakat luar terutama golongan muda dan tidak pupus ditelan zaman.

“Pada tahun ini ia agak berbeza daripada tahun sebelumnya berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara di mana kita juga masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Pertandingan Kompang Tradisi ini dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang telah ditetapkan dan hanya peserta berumur 18 tahun dan ke atas sahaja dibenarkan menyertainya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, walaupun pada tahun ini jumlah penyertaan berkurangan namun sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat sangat menggalakkan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada para peserta yang telah menyertai pertandingan ini dan berharap pada tahun akan datang, jumlah penyertaan akan bertambah kerana hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur agak lumayan.

“Pertandingan seumpama ini juga merupakan salah satu daya tarikan bagi mempromosikan lagi kebudayaan dan warisan yang terdapat di daerah Kota Tinggi khususnya Negeri Johor kepada pelancong dalam dan luar negara,” ujarnya lagi.

Pertandingan tersebut telah diadili oleh beberapa orang juri profesional daripada Kumpulan Kebudayaan Akar Sepuluh Malaysia, Pemuzik Kanan Yayasan Warisan Johor dan Ketua Unit Kompang Majlis Kebudayaan Negeri Johor.

Turut hadir, wakil Rasmi Pengarah Majlis Kebudayaan Negeri Johor Salmah Sainal dan Kurator Muzium Kota Tinggi Wasfi Mirza Othman.

-NI-

Tinggalkan komen anda