
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Jumlah kes COVID-19 menunjukkan sedikit penurunan dengan mencatatkan 293 kes baharu dalam tempoh 24 jam lepas setelah mencatatkan kes harian tertinggi sebanyak 317 kes kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes tersebut melibatkan 292 kes penularan tempatan dan satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, melibatkan bukan warganegara yang mengembara dari Bangladesh.
“Daripada 292 kes penularan tempatan, 269 kes melibatkan warganegara Malaysia dan 23 kes adalah bukan warganegara.
“Daripada 292 kes tersebut juga, sebanyak 30 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept sebanyak 206 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pandemik COVID-19 semalam.
Beliau berkata tiada kematian berkaitan virus itu dilaporkan.
Kes positif COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 12,381 kes manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,961 kes yang semuanya telah diasingkan serta diberi rawatan.
Dr Noor Hisham berkata sehingga kini terdapat 28 kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.
— BERNAMA