Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Bahana Dadah, Pemusnah Negara

By 14 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Krisha Selladurai (Pontian)

PONTIAN, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu isu besar di negara kita di mana kesannya boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan fizikal, mental, emosi dan tingkah laku seseorang.

Menurut Pegawai Daerah Pontian Zulkifli Mohd Tahir, ketika ini masyarakat sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang mula menular sejak Mac 2020 sehingga menyebabkan trend dan pola penyalahgunaan dadah juga berubah mengikut peredaran semasa.

“Program pada hari ini diadakan khusus untuk memperbaharui serta meningkatkan semangat bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial di Malaysia khususnya di daerah ini di kalangan komuniti setempat.

“Peranan dan penglibatan komuniti di dearah ini dalam memberikan kerjasama yang utuh dan bersatu padu dalam usaha pencegahan awal dan mengekang masalah penyalahgunaan dadah daripada terus menjadi barah di dalam komuniti adalah perkara yang wajar dilakukan bagi mencapai matlamat dadah terkawal 2025,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada program Community Empowerment `Belia Pemangkin Masa Hadapan Negara’ di Dewan Serbaguna Benut, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, masalah ini melibatkan semua lapisan masyarakat yang mana bukan sahaja akan merosakkan diri tetapi juga meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarga dan komuniti setempat.

“Penagihan dadah jenis tradisi seperti heroin, morphine dan ganja telah beralih kepada dadah jenis sintetik atau designer drug seperti syabu, ice, ecstasy atau nama saintifiknya methamphetamine dan amphetamine di kalangan belia perlu dibanteras kerana ia adalah elemen utama dalam menjayakan misi negara bebas dadah,” katanya lagi.

Ikon Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Ameng Spring turut berkongsi pengalamannya ketika terjebak dengan dadah yang mana kini beliau telah berjaya membebaskan diri daripada terus terjerumus ke kancah yang tidak sihat ini.

“Pada permulaannya, saya hanya cuba menghisap sebatang rokok dan kemudiannya saya beralih pula dengan menghisap ganja.

“Akibat perbuatan ini, akhirnya saya telah ditangkap dan menerima sepuluh kali sebatan serta dimasukkan ke Pusat Pemulihan selama lapan tahun,”ujarnya.

Tambahnya, beliau mula sedar bahawa penyalahgunaan dadah bukan sahaja mampu merosakkan diri sendiri tetapi ia juga meninggalkan impak yang negatif kepada keluarga dan masyarakat.

“Jauhilah dadah, dadah hanya akan membawa kemudaratan  dan menghancurkan keharmonian sesebuah keluarga dan negara,”ujarnya lagi.

Turut diadakan, forum “Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah Substans dan Pelencongan Sosial” oleh tiga orang ahli panel jemputan iaitu Pengarah AADK Negeri Johor Azli Ubin, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Daerah Pontian Datuk  Zamrud Misdi dan Pegawai Kesihatan Daerah Pontian Dr Norizad Mohamed Salleh yang membincangkan tentang kesan yang bakal diterima jika terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

-NI-

Tinggalkan komen anda