Skip to main content
HomePutrajaya

PKPB: Pengguna Digalak Buat Pembelian Dalam Talian

By 14 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Pengguna di Kuala Lumpur, Putrajaya Selangor dan Sabah digalakkan membuat pembelian secara dalam talian ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan masing-masing.

“Pembelian secara dalam talian secara tidak langsung dapat membantu memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menyatakan langkah itu dapat mengurangkan pergerakan fizikal ke premis perniagaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapat maklumat dari lapangan bahawa berlaku pembelian panik di beberapa tempat selepas pengumuman PKPB oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan bertenang dan tidak membuat pembelian panik kerana perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku di negara kita,” kata Nanta yang menegaskan bekalan barang terutama barang makanan dan barang keperluan utama dijamin mencukupi pada harga yang stabil dan munasabah.

Beliau berkata KPDNHEP mempunyai 2,269 anggota penguat kuasa di seluruh negara yang sentiasa memantau dan memeriksa bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga barang stabil tanpa kenaikan mendadak.

KPDNHEP, katanya juga telah membuktikan melalui tindakan yang diambil dapat memastikan bekalan makanan tidak terputus semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dahulu.

Nanta dalam pada itu berkata pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit diingatkan supaya memastikan semua bekalan keperluan sentiasa mencukupi.

Jika pengguna mendapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang, mereka boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui portal [email protected], menghubungi call centre di talian 1800 886 800 atau e-mel kepada [email protected], katanya.

Aduan juga boleh disalurkan melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU, dengan menghubungi enforcement command centre (ECC) di talian telefon 03-8882 6245 / 6088 atau talian telefon  Malaysia Government Call Centre (MYGCC)  di nombor 03-8000 8000 atau Whatsapp ke 019- 279 4317.

PKPB dilaksanakan di Sabah bermula 13 hingga 26 Oktober, manakala di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor PKPB bermula hari ini hingga 27 Okt.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda