Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Fahami Status Terkawal Kes COVID-19 – Ismuni

By 20 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jefrrey Nian(Labuan)

LABUAN, 20 Okt (Malaysiaaktif) – Orang ramai perlu memahami status terkawal atau tidak terkawal bagi satu-satu kes COVID-19 agar tidak menimbulkan kekeliruan.

Menurut Pengarah Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari status terkawal atau tidak terkawal bergantung kepada corak kes tersebut.

“Yang pertama jika kes-kes yang ada diketahui status dan punca-puncanya dalam kawalan, maknanya kes itu dalam kawalan tidak kira jumlah kes tersebut.

“Untuk tidak terkawal, kita tidak tahu di mana punca suatu kes terjadi dan kita tidak dapat kaitkan setiap kes serta sejauh mana penularannya.

“Apabila kami nyatakan keadaan terkawal maknanya semua kes-kes yang kita ada masih diketahui punca sama ada melalui saringan kluster Bah Bundle atau kluster Saguking,” katanya semasa ditemubual Stesen Radio Labuan FM pagi tadi.

Beliau mengulas mengenai isu tersebut selepas timbul kekeliruan pelbagai pihak terutama menerusi platform media sosial ekoran peningkatan mendadak kes COVID-19 di pulau ini.

Ismuni (tengah) bergambar kenangan bersama para pegawai Jabatan Kesihatan Kelantan.

Ismuni (tengah) bergambar kenangan bersama para pegawai Jabatan Kesihatan Kelantan yang dihantar untuk membantu mengawal penularan kes ini di sini.

Tambahnya, agak mustahil untuk Labuan tidak mencatatkan sebarang kes selepas 18 ribu orang masuk ke Labuan dari kawasan wabak di negeri Sabah.

“Jabatan Kesihatan akan menyaring setiap kemasukan, setiap kes yang dikesan akan dibawa dan dirawat untuk tidak menjangkiti orang lain.

“Apa yang berlaku ramai orang tidak melalui Prosedur Operasi Standard (SOP), tidak melalui saringan selain tidak mengamalkan jarak fizikal dan tidak pakai pelitup muka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Kesihatan Labuan juga katanya menerima lapan orang pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan bagi membantu usaha mengawal penularan COVID-19 di wilayah ini.

“Sembilan pegawai kita terkena jangkitan COVID-19 menyebabkan lebih 100 pegawai lain dikuarantin untuk pastikan anggota lain tidak terjangkit.

“Untuk tidak merencatkan segala program kawalan COVID-19, hari ini kita terima lapan orang pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan disusuli beberapa pegawai perubatan yang akan tiba mulai Jumaat ini untuk menjalankan tugas di Labuan,” ujarnya.

-SH

Tinggalkan komen anda