Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pelaburan Tidak Wujud Babit Kerugian RM2 Juta

By 20 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 20 Okt (Malaysiaaktif) – Pihak polis berjaya melumpuhkan satu sindiket skim pelaburan tidak wujud yang beroperasi sejak tahun 2015 dan melibatkan kerugian RM2 juta.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya telah membuat serbuan di sebuah kondominium di Bukit Idaman dan menangkap seorang wanita berusia 54 tahun pada 16 Oktober lalu.

“Wanita berkenaan disyaki sebagai ‘leader’ dengan mengajak orang ramai melabur dalam satu pelaburan dikenali ‘Barclay Private Investment Project’ (BPIP).

“Menggunakan aplikasi kumpulan Whatsapp bernama ‘RBM Group Trillion Members” meminta orang ramai menyertainya dengan pelaburan serendah RM100 dan bayaran lain-lain diminta kemudian.

“Pelabur dijanjikan pulangan lumayan mencecah RM1 juta dalam satu tempoh yang tidak dinyatakan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini.

Katanya, pihak polis merampas pelbagai dokumen untuk memperdaya pelabur seolah-olah pelaburan tersebut memang wujud.

“Ramai yang terpedaya apabila melihat pelbagai dokumen yang seperti sah di sisi undang-undang apabila ditunjukkan kepada pelabur.

“Suspek yang ditahan mengakui mempunyai 182 orang ‘share holder’ dibawah beliau, 68 daripadanya adalah ‘share holder’ aktif.

“Sehingga kini seramai lima orang telah tampil membuat aduan dan menunjukkan telah terpedaya dengan sindiket tersebut,” jelasnya.

Arifai berkata siasatan turut mendedahkan dua individu iaitu seorang lelaki yang berperanan sebagai ketua sindiket dan pemilik syarikat serta seorang wanita bersamanya.

“Kedua-dua individu ini dikehendaki pihak polis yang mempunyai kaitan rapat dengan suspek yang ditangkap.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Gombak atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda