Skip to main content
HomePutrajaya

Kerajaan Akan Rangka Langkah Komprehensif Untuk Belanjawan 2021 – Tengku Zafrul

By 14 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Kementerian Kewangan Malaysia

PUTRAJAYA, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan akan merangka langkah-langkah komprehensif dan menyeluruh di bawah Belanjawan 2021 melalui hasil dapatan Kaji Selidik PRIHATIN yang dijalankan antara 19 Ogos dan 22 Sept 2020.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata antara dapatan yang akan diberi pertimbangan merangkumi beberapa perkara termasuk meningkatkan sokongan bagi perkhidmatan kesihatan mental serta menambahkan peluang pekerjaan.

Perkara lain yang turut dipertimbangkan adalah mempermudahkan akses bantuan untuk golongan mudah terjejas seperti warga emas, memperkasakan peranan syarikat berkaitan kerajaan dalam menyokong komuniti serta meningkatkan peranan Perusahaan Sosial.

“Kerajaan sedar masih ada ruang untuk penambahbaikan, dan akan sentiasa memberi yang terbaik buat rakyat, perniagaan dan ekonomi,”  katanya ketika membentangkan Laporan Laksana ke-25 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tengku Zafrul berkata Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA)  telah menjalankan Kaji Selidik PRIHATIN untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai impak pelaksanaan Pakej PRIHATIN kepada mereka.

“Ini juga adalah antara usaha kerajaan untuk mendengar suara rakyat secara berterusan, dan hasil dapatan Kaji Selidik PRIHATIN akan digunakan bagi merangka usaha-usaha pemulihan ekonomi, termasuk Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan November ini,” katanya.

Menurutnya, lebih 11,000 respons telah diterima daripada rakyat, termasuk daripada sesi turun padang yang dilaksanakan oleh pasukan LAKSANA ke lebih 10 lokasi seluruh negara.

Beliau berkata sesi turun padang tersebut meliputi kumpulan sasar yang dikategorikan sebagai “menghadapi masalah” merentasi golongan pendapatan B40, M40 dan T20.

“Ini termasuk individu yang menganggur, bekerja sendiri atau merupakan pemilik perniagaan dan usahawan,” katanya.

Dari segi kepuasan pelaksanaan PRIHATIN, antara dapatan utama Kaji Selidik PRIHATIN termasuklah lebih 80 peratus responden berpuas hati dengan pakej PRIHATIN.

“Daripada jumlah ini, 55 peratus menyatakan tahap kepuasan yang tinggi dan 26 peratus tahap kepuasan yang biasa,” katanya.

Beliau menambah, daripada kesemua langkah-langkah di bawah PRIHATIN, tiga bantuan utama yang diterima atau dimanfaatkan responden adalah Bantuan Prihatin Nasional serta Bantuan Sara Hidup, internet percuma dan diskaun elektrik.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pemantauan proaktif akan terus dilaksanakan melalui unit LAKSANA dalam memastikan bantuan Pelan Penjana dapat disalurkan dengan cepat dan efektif, termasuk pakej KITA PRIHATIN yang diumumkan pada 23 September.

Ketika ini, pemberian tunai secara one-off (sekali) seperti bantuan kepada golongan terjejas, geran secara one-off kepada pengendali taska dan tadika yang berdaftar melibatkan pembayaran sebanyak RM655 juta, telah mencapai pelaksanaan sebanyak 69 peratus, katanya.

Manakala inisiatif yang melibatkan pelaksanaan dalam jangka masa antara tiga hingga enam bulan lanjutan subsidi upah yang melibatkan penyaluran sebanyak RM4.38 bilion, pelaksanaan adalah mengikut jadual pada tahap 44 peratus.

“Ini adalah tahap yang memberangsangkan memandangkan inisiatif PENJANA dilaksanakan secara berfasa bermula antara bulan Jun dan September,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda