Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PKPB: IPD Gombak Tutup Tiga Jalan,  Enam SJR

By 14 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak memaklumkan enam sekatan jalan raya (SJR) dan tiga penutupan jalan dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini hingga 27 Oktober.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata dua lokasi SJR  itu melibatkan sempadan antara Gombak dengan Sentul, dua di laluan ke Wangsa Maju dan dua lagi di sempadan Petaling Jaya serta Hulu Selangor.

“SJR1 adalah di Kilometer (KM) 14 Jalan Kuala Lumpur (KL)-Ipoh dari Rawang menghala KL dan SJR2 pula di laluan bertentangan.

“Sementara SJR3 di Jalan Gombak berhampiran Balai Polis Gombak dari arah Setapak ke Gombak dan SJR4 melibatkan laluan bertentangan.

“SJR5 melibatkan Jalan Desa Aman Puri, Desa Jaya iaitu sempadan ke Petaling Jaya dan SJR6 pula di Batu 20 Jalan KL-Rawang bagi laluan menuju ke Hulu Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, IPD Gombak turut melakukan penutupan jalan di Jalan Gombak Lama-Genting Sempah (Simpang Kuari), simpang masuk jalan ke Selayang Pandang (KM14 Jalan KL-Ipoh) dan Jalan Besar Selayang Baru (sebelum Petron Jalan Ipoh).

“Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif  Lebuh raya KL-Karak menggantikan Jalan Lama Gombak.

“Pengguna ke Selayang Pandang pula laluan yang boleh digunakan adalah menggunakan jalan utama KM14 Jalan KL-Ipoh-KL.

“Laluan alternatif yang dicadangkan susulan penutupan Jalan Besar Selayang Baru pula, pengguna boleh menggunakan Jalan 2 Selayang Baru-Petron-Pasar Borong-Jalan KL-Jalan Ipoh,” katanya.

Sementara itu, Arifai menasihatkan masyarakat untuk mematuhi PKPB yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau berdepan tindakan kompaun.

“Pergerakan keluar masuk daerah dan negeri yang melibatkan kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan kecuali atas urusan kecemasan atau ‘essential services’ dengan menunjukkan pas pekerja atau surat dari majikan.

“Mereka yang perlu melalui negeri Selangor untuk ke negeri lain dinasihatkan mendapatkan kebenaran daripada balai polis berhampiran sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda