Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Lelaki Ditahan Langgar Arahan Kuarantin

By 4 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PDRM

SELAYANG, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Seorang lelaki tempatan ditahan polis setelah didapati melanggar arahan kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas didapati berada di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Tasik Puteri, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata suspek berusia 52 tahun itu ditahan kira kira jam 7.30 malam bagi siasatan lanjut.

“Pasukan polis membuat rondaan di kawasan Bandar Tasik Puteri setelah menerima arahan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk mengesan seorang lelaki yang memakai gelang tangan warna ‘pink’ yang disyaki langgar perintah pengawasan.

“Pihak polis mengesan orang yang disyaki di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Tasik Puteri, Rawang dan telah menangkapnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan telah melanggar arahan KKM supaya menjalani kuarantin di rumah bermula 3 Oktober hingga 16 Oktober.

“Ujian saringan Covid-19 telah dibuat terhadapnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan keputusan masih belum diterima.

“Suspek akan ditahan reman di bawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi perintah menjalani kuarantin yang telah diberikan kepada mereka oleh KKM bagi memastikan keselamatan mereka sekeluarga serta orang lain,” ujarnya.

Menurutnya, perbuatan sedemikian boleh menggusarkan masyarakat sekitar dan pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar perintah kuarantin.

Terdahulu, tular di media sosial menerusi aplikasi Whatsapp gambar yang menunjukkan seorang lelaki ditahan polis di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Tasik Puteri.

-NAZ

Tinggalkan komen anda