Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Polis Berkas 37 Individu Disyaki Terlibat dengan Judi Dalam Talian

By 4 Oktober 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Dua puluh enam lelaki dan 11 wanita ditahan semalam oleh polis di Petaling Jaya kerana disyaki mempromosi dan menguruskan 500 aplikasi judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata suspek berusia antara 21 hingga 43 tahun ditahan dalam satu serbuan sebuah premis perniagaan di Seksyen 13 Petaling Jaya, pada pukul 4.30 petang.

Beliau berkata premis terbabit telah beroperasi selama lebih tiga bulan dan berselindung sebagai sebuah syarikat pembangunan aplikasi permainan.

Syarikat terbabit membayar gaji pekerjanya dari RM2,500 sehingga RM10,000 sebulan bergantung kepada tugas mereka.

“Menerusi siasatan lanjut di premis itu, polis menemukan peralatan dan  peranti disyaki digunakan untuk promosi dan penerimaan taruhan.  Selain itu, syarikat itu didapati mempromosi, mereka bentuk, membangunkan, mengurus dan menyediakan bantuan teknikal secara dalam talian untuk lebih 500 aplikasi perjudian dalam talian,” kata Nik Ezanee dalam satu kenyataan.

Beliau berkata menerusi siasatan awal pula pihaknya membongkar satu rangkaian sindiket yang melibatkan transaksi daripada tujuh akaun bank berlainan di negara-negara jiran.

Nik Ezanee berkata semua suspek kini direman tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(c), 4(1)(h) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mengendalikan dan mempromosi serta menguruskan pertaruhan dalam talian.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda