Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Sedia Sekat Penularan COVID-19 di Labuan – Ismuni

By 8 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Kesihatan Labuan dengan kerja sama agensi lain bersedia dengan strategi tersendiri bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di wilayah ini.

Menurut Pengarahnya, Dr. Ismuni Bohari, pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Apabila terjadi kes jangkitan COVID-19, kita akan maklumkan segera pihak polis dan MKN kerana ia melibatan keselamatan keseluruhan komuniti itu sendiri.

“Jabatan Kesihatan akan bertanggungjawab dari aspek strategi teknikal, strategi keselamatan daripada MKN dan gerakan pengoperasian pula oleh pihak polis, gabungan elemen ini kita gunakan untuk kawal penularan kes COVID-19,” katanya.

Ismuni (kiri) dan Khaziyati (kanan) semasa sesi sidang media.

Ismuni (kiri) dan Khaziyati (kanan) semasa sesi sidang media.

Pihaknya juga akan menumpukan kepada sejarah perjalanan pesakit yang disahkan positif pandemik ini bagi proses penilaian risiko di lokasi-lokasi yang terlibat.

“Jika ada sejarah perjalanan pesakit COVID-19 di mana sahaja kita akan lakukan proses nyahkuman di kawasan itu dengan segera dan kita galakkan mana-mana lokasi yang rendah risiko juga menjalankan pembersihan kendiri atau proses nyahkuman sendiri,” katanya ketika ditemui sempena program Pelaksanaan Ujian Pengesahan COVID-19 anjuran Jabatan Pendidikan Labuan, di sini hari ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan Ujian Pengesahan COVID-19 itu, beliau berkata saringan kali kedua itu amat tepat pada waktunya kerana kemungkinan untuk keputusan ujian menjadi positif tetap ada walaupun keputusan negatif pada ujian pertama kali.

“Proses pengeraman virus COVID-19 boleh berlaku dalam masa 14 hari, ujian ini penting demi memastikan keselamatan di sekolah dan meningkatkan keyakinan semua pihak untuk hadir ke sekolah.

“Kita ingin pastikan seluruh warga pendidikan bebas COVID-19 dalam masa 14 hari dan kita akan jalankan proses nyahkuman di sekolah yang berlakunya jangkitan,” katanya.

Anggota Jabatan Kesihatan membantu para warga Jabatan Pendidikan semasa proses pendaftaran.

Anggota Jabatan Kesihatan membantu para warga Jabatan Pendidikan semasa proses pendaftaran.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Khaziyati Osman, berkata proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua sekolah berjalan seperti biasa dengan bilangan guru dan murid sedia ada.

“Bilangan kehadiran murid agak rendah iaitu sekitar 46 peratus manakala kehadiran guru juga hanya 50 peratus kerana masih ramai yang menjalani kuarantin.

“Pihak sekolah masih menjalankan PdP dan murid-murid dikumpulkan seramai lima ke sepuluh orang dalam satu kelas,” katanya.

Tambahnya pihak sekolah menyediakan latihan-latihan secara dalam talian kepada murid-murid yang tidak hadir atas kerisauan ibu bapa terhadap peningkatan kes positif COVID-19.

Seramai hampir 200 warga Jabatan Pendidikan termasuk Anggota Kumpulan Pelaksana terlibat dalam Pelaksanaan Ujian Pengesahan COVID-19 kali kedua selepas menjalani saringan pertama bermula 26 September lalu.

-SH

Tinggalkan komen anda