Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Semua Negeri Kecuali Perlis Catat Kes Baharu, 375 Kes Dilaporkan

By 9 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Semua negeri dan Wilayah Persekutuan kecuali Perlis  mencatatkan kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 375 kes, selain kemunculan lima kluster baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 371 merupakan penularan tempatan dan empat lagi merupakan kes import, dengan kes tertinggi dicatatkan di Sabah sebanyak 271 kes.

“Daripada 371 kes penularan tempatan, 342 kes melibatkan warganegara dan 29 kes lagi bukan warganegara manakala kesemua kes import melibatkan bukan warganegara yang mengembara dari India (dua kes) dan Belgium (dua kes),” katanya dalam sidang akhbar harian beliau yang disiarkan melalui Facebook  berhubung situasi COVID-19, semalam.

Ini menjadikan jumlah kes positif keseluruhan adalah 14,368 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 3,703 kes, katanya.

Sementara itu, terdapat 18 kes yang telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,519 kes atau 73.21 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan lima kematian berkaitan COVID-19 hari ini yang semuanya direkodkan di Sabah melibatkan warga tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan kes maut kini 146 kes atau 1.02 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kematian ke-142 melibatkan lelaki berusia 55 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia; kematian ke-143 libat perempuan berumur 75 juga mempunyai penyakit darah tinggi; kematian ke-144 merupakan lelaki berumur 57 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi; kematian ke-145 pula lelaki berusia 82 tahun manakala kematian ke-146 merupakan lelaki berumur 53 tahun, turut mempunyai penyakit kencing manis,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 60 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 20 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menjawab soalan mengenai keperluan membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), beliau berkata tiada keperluan berbuat demikian buat masa ini.

Katanya, Hospital Sungai Buloh masih mampu menampung pesakit dengan kapasiti 400 katil serta memaklumkan sekiranya terdapat keperluan itu, kementerian hanya memerlukan masa tiga hari untuk membuka semula pusat itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda