PUTRAJAYA, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Sebanyak sembilan sekatan jalan raya diadakan pihak berkuasa di beberapa laluan kritikal di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa semalam, hingga 27 Okt depan.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan malam tadi berkata sekatan jalan raya itu bagi mengelakkan orang ramai yang tidak mempunyai kebenaran, melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri melibatkan kawasan PKPB.
“Laluan kritikal di lebuhraya PLUS iaitu Plaza Tol Jalan Duta, Setia Alam, Shah Alam, Putra Mahkota, Sungai Buaya, Bukit Tagar, Bukit Beruntung, Lembah Beringin dan Seafield,” katanya.
PLUS menasihatkan orang ramai supaya terus kekal berada di rumah, bagi mengawal penularan wabak COVID-19 bertepatan dengan semangat #KitaJagaKita, sekali gus membolehkan petugas barisan hadapan menjalankan tugas mereka dengan selamat.
— BERNAMA