Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Ancaman Ceroboh, Jenayah Rentas Sempadan: ATM Pertingkat Kawalan

By 26 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan rondaan selain penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata kesiagaan dari segi aset dan kebersediaan anggota sentiasa berada pada tahap tertinggi dalam melaksanakan amanah yang dipikul agar dapat membendung sebarang anasir asing yang cuba mengganggu-gugat keamanan serta kedaulatan negara.

“Aspek peningkatan keselamatan dalam operasi kawalan persempadanan bukan sahaja tertumpu kepada daratan malah turut melibatkan persempadanan maritim negara termasuk Sabah dan Sarawak,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian semasa mengulas insiden di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis semalam, yang mengakibatkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terkorban manakala seorang lagi cedera parah selepas ditembak penyeludup.

Katanya ATM memandang serius insiden itu dan mengingatkan setiap peringkat kepimpinan serta anggota yang terlibat dalam operasi kawalan persempadanan agar terus berwaspada dan meningkatkan aspek kesiagaan operasi terutama di lokasi panas yang dikenal pasti sebagai laluan atau lorong tikus.

Affendi berkata mereka yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan dan penyeludupan juga boleh bertindak di luar batasan untuk memboloskan diri daripada ditahan serta tidak bersendirian dan mungkin bernaung di bawah sindiket tertentu yang menjurus kepada aktiviti jenayah berat dan bersenjata.

“Menjadi keutamaan ATM sebagai agensi peneraju National Task Force (NTF) bersama PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain untuk terus memperkasa kawalan persempadanan negara melalui pelaksanaan Op Benteng dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan terutama melibatkan pencerobohan migran,” katanya.

Beliau berkata umum juga mengetahui bahawa aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan didalangi bukan sahaja rakyat tempatan malah penduduk setempat di negara jiran.

Susulan itu, beliau berkata masyarakat harus tampil serta turut menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan menerusi talian Pusat Operasi NTF 011-6251 1223.

Semalam, media melaporkan dalam insiden awal pagi itu, dua anggota PGA iaitu Koperal Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Koperal Norihan a/l Tari ,39, parah apabila berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda