Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: MAHA 2020 Ditangguhkan

By 3 November 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memutuskan untuk menangguhkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2020) yang dijadual berlangsung pada 26 hingga 29 Nov ini.

Menurut MAFI, penangguhan itu adalah pendekatan mitigasi kementerian dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan pandemik COVID-19 selain menjamin kelangsungan keselamatan, kesihatan awam serta kesejahteraan masyarakat.

“MAFI mengambil perhatian akan situasi peningkatan kes positif COVID-19 yang membimbangkan ketika ini. Justeru, MAFI memutuskan MAHA 2020 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak,” menurut MAFI dalam satu kenyataan hari ini.

MAFI merakamkan penghargaan di atas komitmen yang diberikan semua pihak terlibat dalam persediaan penganjuran pameran tahunan itu.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat 834 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 9,968 kes.

Pada 6 Ogos, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa penganjuran MAHA 2020 dijangka diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan maya dalam usaha mengekang penularan pendemik COVID-19.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda