
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)
SEBERANG JAYA, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Menaiktaraf gelanggang Futsal Taman Semilang dan Taman Awam Jalan Tenggiri memberi kesan besar kepada para pemain bola sepak yang tidak sabar untuk turun beriadah di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Afif Bahardin, berkata kedua-dua gelanggang futsal yang berkeluasan 20 meter x 40 meter setiap satunya telah dinaiktaraf dengan pembaikian permukaan gelanggang, tiang gol, pagar dan lampu limpah di bawah perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan dipantau oleh Unit Pembangunan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, Projek Naik Taraf Gelanggang Futsal Taman Semilang dan Taman Awam Jalan Tenggiri akhirnya siap untuk digunakan oleh masyarakat Seberang Jaya,” katanya semasa lawatan ke tapak futsal semalam.
Menurut beliau, gelanggang-gelanggang ini sering menjadi tumpuan masyarakat setempat untuk tujuan perlawanan dan permainan santai.

ADUN Seberang Jaya, Afif Bahardin dan Pegawai-Pegawai dari Kementerian dan Pejabat Belia dan Sukan bersama-sama melawat ke tapak Gelanggang Futsal Taman Awam Jalan Tenggiri.
“Ia bakal digunakan sepenuhnya terutamanya apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan rantaian COVID-19 telah berakhir.
“Diharapkan menjelang 2021, gelanggang ini dapat digunakan sepenuhnya kerana orang awam sudah tidak sabar untuk beraksi di gelanggang yang berfasiliti lengkap ini,’’ tambahnya.
Turut hadir dalam Lawatan Tapak Gelanggang Futsal di Daerah SPT adalah Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang Mohammad Iswadi Aljuhari dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Seberang Perai Tengah Mohamed Farid Razali.
-ii-