Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kemiskinan Bukan Penghalang untuk Berjaya

By 25 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Muhamad Nawawi Kasa/Armizie Hanazifs (Pendang)

PENDANG, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Hanya semata-mata bergantung dengan sebuah telefon pintar yang dikongsi bersama-sama adik beradiknya yang lain, Siti Fatihah Shahabuddin membuktikan kekangan bukanlah suatu penghalang apabila berjaya memperoleh 10A dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Menurut Fatihah, dia ilahirkan dalam keluarga susah, ditambah pula derita bapanya akibat strok dan keluarga ini hanya bergantung harap, dari pendapatan tidak seberapa dari ibunya yang mengambil upah di kedai makan, berhampiran rumah mereka.

“Keadaan ini, tidak sedikitpun mematahkan semangat saya untuk terus berusaha bagi mencapai cita-cita.

“Saya akan bangun seawal pukul 4.30 pagi dan terus mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan latihan sekolah yang diberikan dan sesudah Solat Subuh, saya akan ke sekolah dan memberi tumpuan sepenuhnya pada pelajaran,” kata Pelajar Aliran Sains Tulen Sekolah Model Khas Bukit Jenun, yang merupakan antara tujuh pelajar terbaik sekolahnya yang terpilih sebagai pelajar Elite SPM.

Fatihah berkata, setelah pulang dari sekolah, dia akan terus mengulangkaji pelajaran pada sebelah petang dan malamnya, sebelum tidur pada pukul 11 malam.

“Saya bercita-cita untuk berbakti sebagai guru Matematik dan ingin melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru sekiranya diberi peluang kelak.

“Ayah, ibu dan guru-guru di sekolah banyak memberi sokongan dan galakan serta mendoakan saya untuk berjaya dan saya akan memastikan hasrat ini dapat dicapai,” katanya ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob, di kediamannya di sini baru-baru ini.

Menurut Suraya, meskipun terbatas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiada kelengkapan belajar dengan sempurna, Siti Fatihah tetap memberi tumpuan pada pelajaran.

“Hanya berbekalkan telefon pintar yang dikongsi dengan kakak-kakaknya, tiada dalam kamus baginya untuk mengabaikan pelajaran dan inilah sikap yang seharusnya ada dalam diri anak-anak muda hari ini,” katanya.

Turut hadir dalam kunjungan itu, Pegawai Pendidikan Daerah Pendang Jasni Sumadi, Pengetua Sekolah Model Khas Bukit Jenun Abdul Samad dan Pegawai Keda Zon 3 Khairul Ridhwan Abdul Aziz, yang turut hadir bagi menyerahkan sumbangan dari Yayasan Pendidikan Pendang sebagai suntikan semangat untuknya.

-SH

 

Tinggalkan komen anda