
PUTRAJAYA, 18 Nov (Malaysiaaktif) – Dua lagi lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian membakar mercun secara terbuka selain mencederakan seorang penduduk pada Jumaat lepas di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan, dekat sini, ditahan semalam.
Penahanan dua lelaki berkenaan menjadikan 10 suspek ditahan berkaitan insiden itu setakat ini.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata kedua-dua suspek itu ditahan dalam satu serbuan di Jalan Bandar Kinrara 5, Puchong di sini.
Beliau berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai terlibat membaling mercun sehingga mencederakan seorang mangsa di lokasi kejadian selain membuat ugutan berikutan teguran diberikan mangsa.
“Kedua-dua mereka turut terbabit bersama lapan lagi individu yang ditahan Ahad lepas yang bertindak membuat provokasi ke atas anggota polis ketika polis cuba menyuraikan aktiviti membakar mercun secara terbuka itu.
“Mereka telah direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kelmarin, Bernama melaporkan seramai lapan individu berusia antara 27 hingga 53 tahun ditahan dipercayai melakukan aktiviti membakar mercun secara terbuka dan bertindak menghalang tugas anggota polis seperti yang tular menerusi rakaman video di media sosial.
— BERNAMA