
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 17 Nov (Malaysiaaktif) ā Perbadanan Labuan (PL) menerima dana sebanyak RM120 ribu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk digunakan bagi projek-projek kecil menaik taraf fasiliti pelancongan di sini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL Dr. Fary Akmal Osman, salah satu projek yang dikenal pasti adalah menggantikan poster-poster lama yang ada di Lapangan Terbang Labuan.
āKita bekerjasama dengan Lapangan Terbang Labuan untuk menggantikan poster-poster lama dengan poster yang lebih menarik dan terkini untuk dilihat para pelancong yang datang ke Labuan.
āKita juga akan gunakan motif lukisan di dinding Lapangan Terbang Labuan untuk menyediakan tempat mengambil gambar atau berswafoto,ā katanya selepas membuat tinjauan di Lapangan Terbang Labuan, di sini semalam.
Selain itu, peruntukan itu juga katanya akan diguna untuk menaik taraf papan tanda di lokasi pelancongan untuk kemudahan para pelancong.
āAntara papan tanda yang akan dinaik taraf adalah di Chimney di mana kita akan buat papan tanda di satu kawasan yang sering menjadi lokasi orang ramai melihat suasana matahari terbit selain ada lebih kurang 10 projek-projek kecil lain yang dinaik taraf atau dibaik pulih,ā katanya.
Jelas Fary, sebelum ini juga PL menerima RM640 ribu untuk tiga projek naik taraf fasiliti pelancongan di Labuan.
āSalah satunya adalah naik taraf Anjung Budaya yang sering menjadi lokasi penganjuran program kebudayaan dan kesenian selain menaik taraf Muzium Marin Labuan serta Selera Manikar untuk menjadikan tempat itu lebih menarik untuk dikunjungi pelancong luar.
āPL juga dalam perancangan untuk membangunkan kawasan pantai Layang-Layangan untuk dijadikan tempat bagi para warga Labuan dan para pelancong bersantai dan berniaga,ā katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Fary memaklumkan PL menyediakan garis panduan permohonan lesen berniaga sementara kapada warga Labuan.
āSeperti mana pengumuman YB Menteri Wilayah yang ingin menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai wilayah bebas berniaga, pemohon hanya perlu āwhatsappā lokasi tapak berniaga kepada PL untuk menjamin lokasi tersebut selamat kepada para pengunjung dan peniaga selain tidak mengganggu kepada orang awam.
āPL akan mengambil inisiatif untuk proses permohonan dalam masa satu hari dan setakat ini kita sudah terima 10 permohonan selain 300 permohonan untuk lesen penjaja percuma selama setahun seperti yang diumumkan Menteri Wilayah pada Jun lepas.
āKita juga akan menghantar lesen kepada penjaja untuk mengurangkan pergerakan mereka semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),ā jelasnya lagi.
-SH