Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KPDNHEP Sasar Peningkatan 1.5 Peratus Jualan KBBM pada Suku Keempat Tahun Ini

By 18 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 18 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan peningkatan hasil jualan sebanyak 1.5 peratus pada suku keempat daripada nilai jualan sebanyak RM1.6 bilion bagi suku ketiga dalam Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDNHEP Ismainur Hadi Amat Bakeron berkata meskipun negara sedang bergelut dengan ancaman pandemik COVID-19, kementerian itu optimis sasaran tersebut dapat dicapai menerusi ekosistem ekonomi digital dan infrastruktur e-dagang yang diguna pakai ketika ini.

“Bagi KBBM pada tahun ini, kementerian menjalinkan kolaborasi bersama tiga penyedia platform marketplace yang mempunyai jumlah pengunjung tertinggi di Malaysia iaitu Shopee, Lazada dan PG Mall dengan jumlah purata pengunjung bagi ketiga-tiga platform ini sebanyak 58 juta pengunjung sebulan,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata KPDNHEP mengambil kira faktor situasi semasa iaitu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyaksikan pergerakan pengguna terhad, justeru peningkatan jualan menerusi ketiga-tiga marketplace itu menunjukkan pengguna cenderung berbelanja secara dalam talian.

Ismainur Hadi  berkata festival beli-belah 11.11 oleh Lazada Malaysia turut melonjakkan jualan produk buatan negara selain menjangkakan festival 12.12 akan datang yang menawarkan pelbagai produk tempatan pada harga rendah serta penghantaran percuma turut membawa nilai jualan memberangsangkan.

“Sehingga 31 Okt lepas, terdapat 31,000 produk tempatan di pelbagai platfrom marketplace. Jumlah  ini dilihat meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya kira-kira 7,000 sku (unit simpanan stok),” katanya.

Beliau berkata peningkatan kes COVID-19 kebelakangan ini menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di negeri yang terlibat dan orang ramai agak sukar membeli barangan, oleh itu pembelian secara dalam talian merupakan pilihan terbaik bagi mendapatkan barangan tersebut.

“Justeru, orang ramai digalakkan membeli barangan secara dalam talian dengan mengutamakan barangan keluaran tempatan kerana setiap sen yang dibelanjakan akan membantu menjana semula ekonomi negara,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda