Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Masyarakat Perlu Main Peranan Banteras Aktiviti Pemerdagangan Manusia

By 2 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

PADANG BESAR, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Kesedaran awam dan komitmen masyarakat setempat terutama yang tinggal berhampiran sempadan negara dalam melaporkan sebarang aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran mampu membendung dan mencegah jenayah ini.

Menurut Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perlis Arif Helmi Junid, kerjasama dan tindakan-tindakan proaktif yang diambil dapat mematahkan sebarang aktiviti penyeludupan migran yang cuba memasuki Malaysia.

“Saya amat berharap masyarakat dapat berganding bahu dan menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa agar aktiviti haram ini dapat dibanteras.

“Satu pendekatan yang selaras dan komprehensif adalah amat diperlukan dalam usaha kita menangani jenayah ini,” katanya ketika menyampaikan ceramah mengenai aktiviti pemerdagangan manusia di Masjid Nurul Husna Wang Kelian, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, masalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana Perlis pernah menjadi tumpuan dunia berikutan isu penempatan haram kaum Rohingya yang berjaya dibongkarkan oleh pihak berkuasa pada tahun 2015.

“Selain aktiviti penyeludupan manusia, masyarakat juga boleh menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika terlihat sebarang aktiviti yang mencurigakan seperti penyeludupan barangan terlarang,” ujarnya.

Pada majlis yang sama, Pegawai Jabatan Penerangan Negeri Perlis Wan Abdul Halim, turut menjelaskan tentang aktiviti penyeludupan orang dan migran serta kesannya kepada masyarakat.

“Masalah penyeludupan ini bukan sahaja tmemberi kesan kepada masyarakat tetapi juga ekonomi negara apabila kerajaan perlu menanggung kos-kos bagi menguruskan migran yang ditahan,” katanya.

Halim berkata, mengikut statistik yang dikeluarkan pihak berkuasa dari tahun 2008 hingga 2015 terdapat sebanyak 937 aktiviti pemerdagangan orang dengan jumlah tangkapan seramai 1297 orang.

“Bagi penyeludupan migran pula, sebanyak 215 kes telah direkodkan dengan 360 tangkapan dibuat pada tahun 2010 hingga 2015”, katanya.

-NI

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda