
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/APMM Labuan
LABUAN, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan, memperketat pemantauan dan penguatkuasaan di sepanjang Pelabuhan Labuan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula sejak 21 Oktober lalu hingga 13 November ini.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Zon Maritim Labuan meningkatkan rondaan dan pengawasan berikutan tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan yang melaksanakan sekatan terhadap beberapa kawasan Zon Merah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) seperti Kampung Saguking Laut bagi memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19.
“Zon Maritim Labuan bersama agensi kerajaan tempatan yang lain telah menggerakkan aset untuk memantau serta melaksanakan penguatkuasaan dengan memasang dawai berduri di sekitar kampung berkenaan, sekatan laluan sungai di sepanjang Pelabuhan Labuan selain melakukan 32 pemeriksaan ke atas 29 bot penumpang, dua bot tunda dan sebuah bot nelayan,” menurut kenyataan itu.

Pemantauan turut disertai Pengarah Majlis Keselamatan Negara Labuan, Pengarah Kesihatan Labuan, Ketua Polis Daerah Labuan, Pengarah Imigresen Labuan serta Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Labuan.
Manakala pengawasan di sekitar Terminal Feri Antarabangsa Labuan juga diperketatkan bagi memantau kemasukan penumpang-penumpang dari Menumbok, Sabah.
“Dua aset bot dan 15 anggota Maritim Malaysia telah ditugaskan secara bergilir untuk memastikan operasi pemantauan dan penguatkuasaan berjalan dengan lancar di kawasan berkenaan.
“Selain pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan PKPB dan PKPD, Maritim Malaysia juga turut giat melaksanakan Operasi Benteng Laut Timur 1/2020 bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) dibawah National Task Force (NTF),” menurut kenyataan itu lagi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang pencerobohan PATI atau pergerakan yang mencurigakan juga dinasihatkan untuk menghubungi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 dan talian NTF 011-6251 1223.
-SH