Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Polis Lepaskan Tembakan Tangkap Lelaki Pandu Berbahaya

By 27 November 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas mengejar seorang lelaki yang memandu secara berbahaya lebih empat kilometer, ketika lelaki tersebut cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Jalan Kuala Slim, Slim River.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari itu, pasukan pemantauan pematuhan COVID-19 yang sedang melakukan pemeriksaan secara ‘snap-check’, menahan sebuah kereta dipandu seorang lelaki.

Katanya semasa pemeriksaan, lelaki berumur 35 tahun telah memecut laju keretanya ke arah Pekan Slim River dan polis terpaksa mengejar kenderaan suspek sehingga di hadapan Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang.

“Dalam kejadian tersebut, seorang anggota Pasukan Kereta Peronda (MPV) telah memberi amaran supaya suspek berhenti, namun terus memecut dan cuba melanggar anggota tersebut mengakibatkan beberapa das tembakan dilepaskan sebelum lelaki itu berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sulizmie Affendy berkata hasil pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemukan satu beg galas mengandungi plastik lutsinar dipercayai untuk membungkus dadah dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau.

Katanya hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan direman selama lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya suspek turut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda