Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Surau Tradisional Serikan Perkampungan Orang Asli

By 13 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rose Rasidi/Kelab RCRC (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 13 Nov (Malaysiaaktif) – Surau kecil yang comel dan dibina daripada sumber hasil tempatan iaitu kayu dan buluh menghiasi perkampungan Orang Asli Telimau yang terletak di kawasan pedalaman Pos Lemoi. Jarak kampung ini daripada kawasan Tanah Rata adalah sekitar 40 km dan jumlah penduduk adalah sekitar 174 orang.

Menurut Pengerusi Kelab RCRC Mohd Khairul Zaifar Razik, berkata pembinaan surau ini adalah untuk kemudahan penduduk di sini dalam melaksanakan ibadah solat secara berjemaah dan melakukan aktiviti kerohanian yang lain seperti aktiviti ceramah agama, pengajian al-Quran dan sebagainya.

“Kami mengumpul semua ahli daripada pelbagai latar belakang kemahiran seperti pertukangan dan lain-lain bagi membanting tulang bekerjasama dalam pembinaan surau ini.

“Asalnya surau ini sangat kecil namun sedikit demi sedikit telah kami tambah dan perbaiki bagi memberi kemudahan kepada jemaah di sini,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Menurut Khairul, dengan kerjasama agensi kerajaan juga bantuan perseorangan, mereka dapat membangunkan surau ini dengan lebih baik daripada aspek perpaipan, serta tambahan bumbung tempat wuduk.

“Pejabat Agama Islam (PAID) banyak membantu dari segi sokongan untuk pembangunan Islam dan penyebaran agama, manakala Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) menjadi penggerak utama dalam membantu penduduk melalui penglibatan pembelajaran agama serta usaha kuat penggerak-penggerak masyarakat sekitar daerah Cameron Highlands turut bergiat aktif dalam usaha murni ini.

“Agensi kerajaan lain seperti Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands turut menyumbang kepada pengimarahan surau Kampung Orang Asli Telimau ini apabila telah turun padang mengadakan aktiviti bersama penduduk dalam membudayakan norma baharu bagi mencegah penularan COVID-19 yang telah dilaksanakan pada Sabtu lepas,” katanya.

Menurut Tok Batin Kampung Terlimau Salman Bah Manan, pembinaan surau ini banyak membantu penduduk menjalankan ibadah agama serta memberi keselesaan kepada mereka.

“Kami turut berterima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana singgah memberi maklumat tentang status terkini COVID-19 dan mengajar kami tentang cara menghentikan jangkitan ini serta membudayakan norma baharu dalam kehidupan harian melalui Program [email protected].

Surau ini mula dibina pada Oktober 2019 oleh persatuan bukan kerajaan Radio Communication and Recreation Club (RCRC) Cameron Highlands hasil daripada dana dan kutipan wang secara persendirian dan daripada syarikat swasta.

-KN

Tinggalkan komen anda