Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Tiru Suara Rakan, Keluarga Taktik Baharu Penjenayah Tipu Orang Ramai

By 28 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 28 Nov (Malaysiaaktif) – Meniru suara rakan dan ahli keluarga merupakan taktik baharu dikesan digunakan penjenayah penipuan dalam talian untuk memperdaya mangsa kononnya bagi meminjam wang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata selepas memperkenalkan diri, suspek akan memberitahu bahawa nombor telefon yang digunakan itu adalah nombor baharu mereka.

“Penjenayah kemudian memberikan nombor akaun yang bukan milik ‘rakan’ atau ‘ahli keluarga’ mangsa bagi tujuan mendapatkan wang yang ingin dipinjam itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Katanya, mangsa mula sedar ditipu apabila menghubungi rakan atau ahli keluarganya itu dengan nombor asal dan mendapati sebenarnya tiada permintaan pinjaman wang dibuat.

Sebanyak 20 kertas siasatan  telah dibuka iaitu melibatkan penjenayah menggunakan modus operandi penyamaran dan ia melibatkan kerugian sebanyak RM250,000, katanya.

Nik Ezanee juga berkata sebanyak 78 laporan diterima membabitkan kerugian hampir RM7 juta berkaitan jenayah siber dan multimedia dari Januari sehingga hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Nik Ezanee memaklumkan empat lelaki tempatan ditahan dalam tiga serbuan berasingan kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah pusat gimnasium di Lebuh Bandar Utama, Petaling Jaya.

Beliau berkata tangkapan terhadap tiga suspek kejadian yang berlaku 6 pagi Selasa lalu itu dibuat selepas penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

“Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki memasuki premis itu melalui tangga kecemasan di tingkat bawah yang menempatkan parkir kenderaan dan mengambil barang-barang di premis itu,” katanya.

Katanya dua suspek masing-masing berusia 19 dan 22 tahun ditahan dalam serbuan pada 1 tengah hari di sebuah flat di kawasan Kayu Ara, Petaling Jaya, semalam.

Manakala pada 4.30 petang hari sama katanya dua lagi serbuan dibuat masing-masing di kawasan Pelangi Damansara dan Flora Damansara dan polis menahan dua suspek berusia 18 dan 40 tahun.

Nik Ezanee berkata dua suspek dalam serbuan pertama yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari manakala dua lagi suspek direman dua hari, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah premis berkenaan dirampas dan polis percaya tiga kes pecah pusat gimnasium di Lebuh Bandar Utama, Kota Damansara dan Taman Tun Dr Ismail berjaya diselesaikan, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda