
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 1 Dis (Malaysiaaktif) – 20 persatuan sukan di Labuan menerima bantuan kewangan COVID-19 sebanyak RM40,000.00 daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).
Menurut satu kenyataan daripada MSWP, bantuan kepada persatuan-persatuan sukan bawah MSWP yang merupakan tulang belakang sukan di Wilayah Persekutuan khususnya Labuan itu bertujuan membantu meringankan impak dan beban yang ditanggung persatuan-persatuan sukan.
“Peruntukan ini disalurkan kepada 20 persatuan sukan dengan kadar bantuan kewangan sebanyak RM2,000 bagi setiap persatuan sukan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, bagi memastikan pembangunan bakat sukan di Labuan terus berkembang, selaras dengan peranan dan fungsi Majlis Sukan Labuan dalam mempergiat program pembangunan akar umbi sukan, pemberian sumbangan bantuan program pembangunan bakat sukan Labuan berjumlah RM 26,000 turut disalurkan.
“Bantuan program ini adalah untuk memastikan persatuan-persatuan sukan ini membuat perancangan dan menyelaras program bakat serta talent identification pada peringkat akar umbi secara lebih efektif agar dapat mengenal pasti atlet yang berpotensi.
“Diharap persatuan-persatuan sukan Wilayah Persekutuan dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan ini seterusnya memberikan nafas baharu kepada pembangunan sukan pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” menurut kenyataan itu lagi.
Meskipun latihan secara intensif tidak dapat dilaksanakan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB di Labuan, pembayaran elaun latihan kepada jurulatih dan atlet tetap diteruskan.
“Pembayaran elaun kepada 54 atlet dan 17 jurulatih itu membabitkan peruntukan sebanyak RM70 ribu bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2020 dan ini merupakan tanda keprihatinan Menteri Wilayah Persekutuan, Kementerian serta MSWP terhadap perkara berkaitan dengan kebajikan atlet dan jurulatih di Wilayah Persekutuan.
“Sejak pembukaan semula sektor sukan selepas tempoh PKP, program latihan perlu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Persatuan sukan Wilayah Persekutuan Labuan juga tidak terkecuali dalam mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” menurut kenyataan MSWP yang dikeluarkan semalam.
Majlis penyampaian bantuan kewangan COVID-19 kepada persatuan-persatuan sukan terlibat disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman.
-SH