Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Sektor Awam Manfaatkan Teknologi ketika Pandemik – KSN

By 1 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 1 Dis (Malaysiaaktif) – Malaysia telah mengambil langkah memanfaatkan penggunaan teknologi ketika pandemik COVID-19 dengan membangunkan aplikasi MySejahtera melalui kerjasama strategik agensi-agensi kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak itu dalam negara, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurutnya aplikasi MySejahtera dibangunkan melalui kerjasama antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

“Sehingga 11 Nov 2020, MySejahtera telah merekodkan 23.5 juta bilangan pengguna,” katanya dalam ucapan pada majlis pengumuman pemenang CHallenge on Innovation and Problem solving through Technology Advancement (CHIPTA)  2020 yang diadakan secara maya, semalam.

Beliau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ekoran kemunculan pandemik itu juga telah mengubah rutin harian bekerja terutamanya dalam kalangan penjawat awam, dan beberapa aplikasi telah dibangunkan rentetan itu bagi memastikan kerja-kerja dapat dijalankan seperti biasa dan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Antaranya ialah Sistem Pemantauan Operasi Tugas Saya atau SPOT-Me yang dibangunkan oleh MAMPU yang berfungsi merekodkan daftar masuk/keluar waktu pegawai mula/tamat bertugas sama ada di pejabat/lokasi lain yang diarahkan serta membolehkan pegawai melaporkan tugasan yang telah diselesaikan untuk tujuan pengesahan.

Beliau turut memberi contoh Sistem Temujanji Online (STO) oleh Jabatan Imigresen yang mula digunakan pada 8 Mei lepas berjaya mengawal kehadiran orang ramai di pejabat-pejabat Imigresen selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak COVID-19, serta pelaksanaan pelbagai mesyuarat atau perbincangan secara dalam talian.

CHIPTA 2020 bertemakan “Enabling Innovation for New Norm and Better Future” berjaya menarik penyertaan 155 pasukan, yang menyaksikan 10 pasukan dipilih bagi setiap kategori untuk melaksanakan pembangunan aplikasi mudah alih yang merupakan produk akhir bagi pertandingan itu, dengan penilaian akhir diadakan pada 13 Oktober lepas secara telesidang.

Pertandingan terbahagi kepada empat kategori iaitu Sektor Awam, Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), Pelajar Sekolah Menengah dan Orang Awam/Industri dengan jumlah hadiah keseluruhan RM66,000.

Kumpulan SMART PPM daripada Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia memenangi kategori Sektor Awam melalui pembangunan aplikasi MyQDMi (Malaysia Quarry Dust Monitoring Artificial Intelligence) yang berkonsepkan pemetaan dalam talian bagi membantu orang awam dan jabatan mendapatkan maklumat berkaitan pencemaran udara (habuk) di kuari di seluruh negara.

Kategori pelajar IPT diungguli Kumpulan TheFourQuadrant dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan aplikasi GigAssist yang menyediakan platform analitik pekerjaan dan menyatukan maklumat pekerjaan dalam sektor ekonomi gig untuk pencari kerja, pemain industri dan kerajaan, memenangi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Bagi kategori Pelajar Sekolah Menengah dimenangi kumpulan BAZ apps daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki Kuala Lumpur dengan aplikasi Mobile Trainer, manakala kategori Orang Awam/Industri dimenangi kumpulan LESTARI dengan kejayaan mencipta aplikasi LESTARI.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda