Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: 1,472 Kes Baharu

By 2 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 2 Dis (Malaysiaaktif) – Kes positif COVID-19 kekal mencatatkan empat angka, dengan 1,472 kes baharu yang lebih separuh daripadanya adalah daripada Kluster Teratai, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun beliau berkata  sebanyak 1,552 kes sembuh dilaporkan semalam dan masih mengatasi angka kes positif.

“Kluster Teratai sahaja pada hari ini telah melaporkan sebanyak 778 kes (52.9 peratus) daripada keseluruhan jumlah kes harian untuk negara dan menyumbang kepada 87.3 peratus daripada kes harian yang dilaporkan di negeri Selangor (891 kes),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata secara keseluruhan dalam tempoh seminggu yang lepas, Malaysia menunjukkan jumlah pelaporan kes harian yang lebih stabil dengan sebahagian besar daripada kes kebelakangan ini berpunca dari tapak binaan dan kilang.

“Angka yang tinggi ini adalah susulan perluasan pengesanan kes secara aktif dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan di lapangan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sejak diumumkan pada 7 Nov lepas, sejumlah 6,603 individu telah disaring bagi Kluster Teratai dan daripada jumlah itu sebanyak 5,056 kes telah dikesan positif melibatkan 331 (6.5 peratus) warganegara dan 4,725 (93.5 peratus) kes adalah bukan warganegara.

Sebanyak 1,501 individu dikesan negatif manakala 46 individu masih menunggu keputusan dan kesemua kes positif telah diasingkan.

“Oleh itu, KKM menyambut baik pengumuman oleh Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bagi melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang berkenaan bermula dari 1 Dis sehingga 14 Dis,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, majikan berkenaan telah diarah untuk menghentikan operasi dan menutup kilang secara berperingkat serta menjalankan saringan terhadap kesemua pekerja mereka.

Selain itu, katanya, anggota kesihatan juga telah digerakkan sejak awal lagi ke kawasan terlibat bagi membantu aktiviti kawalan dan pencegahan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda