Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Perkukuh Kerjasama Sasar Sifar HIV/AIDS Menjelang 2030 – Dr Adham

By 1 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Kementerian Kesihatan Malaysia

PUTRAJAYA, 1 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru semua pihak  bersama menggembleng tenaga dan memperkukuh kerjasama pintar bersama kerajaan, sebagai usaha  memastikan matlamat sasaran sifar HIV/AIDS menjelang 2030, dapat direalisasikan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata menerusi kerjasama itu aktiviti pencegahan, kawalan, rawatan serta jagaan pesakit HIV/AIDS akan dapat diperkasakan sekali gus mampu menangani kes penyakit terbabit di negara ini.

‘’Saya menyeru semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, badan badan bukan kerajaan, badan  korporat dan juga masyarakat untuk bersama-sama menggembleng tenaga dalam menangani HIV/AIDS dan isu berkaitannya.

“Ini sejajar dengan tema sambutan Hari Kesedaran AIDS Sedunia tahun ini iaitu ‘Solidariti  Sejagat Tanggungjawab Bersama’,” katanya ketika berucap secara maya merasmikan Hari Kesedaran AIDS Sedunia 2020 peringkat kebangsaan hari ini.

Beliau berkata sambutan Hari Kesedaran AIDS itu yang disambut 1 Dis setiap tahun perlu menjadi platform untuk semua pihak memperbaharui komitmen dan tekad bagi mempergiatkan usaha bersama dalam menangani jangkitan HIV/AIDS.

Dr Adham berkata kerajaan telah menjalankan pelbagai aktiviti pencegahan, kawalan, rawatan dan jagaan HIV/AIDS sejak 1985 dan bermula itu banyak perubahan positif yang berlaku.

“Malaysia pernah mencatat bilangan kes HIV tertinggi iaitu 6,978 kes pada 2002 dan telah menyaksikan penurunan kes sebanyak 50 peratus pada akhir tahun 2019.

“Negara kita juga telah dapat mengekalkan kadar jangkitan vertikal HIV dari ibu ke anak pada kadar di bawah dua peratus dan memastikan ia tidak menjadi ancaman kesihatan awam,” katanya.

Menurut Dr Adham peratusan jangkitan HIV baharu dalam kalangan mereka yang menyuntik dadah juga menurun iaitu daripada 5,176 kes pada 2002 kepada 164 tahun lepas.

Katanya, selain itu pemberian ubat antiretroviral (ARV) kepada mereka  yang hidup  dengan HIV (PLHIV) juga telah dipertingkatkan iaitu dari 28 peratus pada 2015 kepada 57 peratus tahun lepas.

‘’Bagaimanapun, peningkatan ini masih rendah jika dibandingkan dengan sasaran 90 peratus dalam usaha kita mengakhiri AIDS,’’ katanya.

KKM juga ingin mengingatkan mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) agar sentiasa mengamalkan normal baharu dalam kehidupan seharian bagi mencegah  diri daripada mendapat jangkitan COVID-19,’’ katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda