Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KBBM Terus Disambut Positif, Tingkat Keyakinan Beli Produk Buatan Malaysia

By 2 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 2 Dis (Malaysiaaktif) – Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus mendapat sambutan yang menggalakkan sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk buatan tempatan.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDNHEP Ismainur Hadi Amat Bakeron, sejak kempen itu dilaksanakan, sebanyak 241,900 unit simpanan stok (SKU) produk tempatan telah dipasarkan di pelbagai platform beli-belah berbanding hanya 160,648 SKU sebelum ini.

Katanya pemasaran produk tempatan itu adalah hasil kerjasama strategik yang dijalinkan dengan pemain sektor peruncitan terdiri daripada pasar raya dan kedai serbaneka termasuk di stesen minyak bagi mengenal pasti produk tempatan yang berpotensi.

Pasar raya seperti Mydin, Aeon, Tesco dan Giant serta peruncit telah memasarkan produk buatan tempatan berpotensi dan berkualiti untuk dipromosikan melalui gegantung dan rak khas bagi menempatkan produk buatan tempatan, katanya.

“Kolaborasi itu menjana nilai jualan berjumlah RM1.621 bilion pada suku ketiga tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM28 juta berbanding RM1.593 bilion untuk tempoh sama tahun lepas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, Ismainur berkata platform e-dagang juga kini menjadi trend pengguna untuk membeli-belah, ditambah lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengehadkan pergerakan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya menjalinkan kolaborasi dengan tiga platform e-dagang iaitu Shopee, Lazada dan PG Mall pada tahun ini sebagai medium mempromosikan barangan buatan Malaysia sekali gus membantu industri kecil dan sederhana.

“Menerusi platform beli-belah itu juga, nilai jualan produk tempatan telah mencecah RM43.5 juta dengan 71,877 SKU pada suku ketiga tahun ini, berbanding hanya RM7.4 juta nilai jualan dengan 15,399 SKU pada suku tahun pertama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian turut mengambil pendekatan baharu dengan melakukan kerjasama silang dengan pihak organisasi atau syarikat berkepentingan yang mempunyai pengikut atau pengaruh yang tersendiri.

“Antaranya membuat promosi atau kempen KBBM melalui paparan iklan termasuk papan iklan diod pancaran cahaya (LED) di lokasi-lokasi strategik di lebuh raya, jalan raya persekutuan atau negeri selain mengadakan kolaborasi khas bersama Siri Animasi Upin dan Ipin,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha yang menyertai KBBM menerusi platform e-dagang itu, Sharil Omar berkata syarikatnya masih mampu meneruskan operasi dalam tempoh mencabar ketika ini ekoran kecenderungan pelanggan membeli produk secara dalam talian.

Sharil yang merupakan Pengurus Eksekutif Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd berkata syarikatnya menawarkan lebih 50 produk menerusi pembelian dalam talian di laman seperti Shopee, Lazada, Fscebook, Instagram dan Tik Tok.

“Kerjasama dengan KPDNHEP menerusi KBBM turut membolehkan syarikat menembusi pasaran pasar raya selain mendapat pengecualian listing fee, promosi dan publisiti, serta sewaan ruang dan rak jualan di premis terpilih,” katanya.

Bagi Pengarah Operasi dan Pembangunan Perniagaan Oishiy Rich Empire Noorul Halimin Sabran, produk keluaran syarikatnya seperti kerepek lobak merah Cravia dan Muruku Cheese Minys menerima sambutan yang baik selepas menukar strategi jualan secara dalam talian.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda