
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 4 Dis (Malaysiaaktif) – 10 pelajar jurusan Diploma Awal Kanak-Kanak, Kolej Ketengah menerima tajaan pendidikan daripada Kumpulan Syarikat Ketengah Holding Sdn. Bhd (KHSB).
Penyerahan tajaan tersebut telah dibuat oleh pengerusinya Senator Datuk Razali Idris semasa lawatannya baru-baru ini di Kolej Ketengah, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Bukit Besi.
Razali berkata, pemilihan dibuat berdasarkan syarat iaitu bagi pelajar miskin di Wilayah Ketengah yang pendapatan keluarga sebanyak RM2,000 sebulan dan ke bawah.
“Penajaan ini untuk menampung perbelanjaan pendidikan pelajar di samping mengurangkan beban ibu bapa yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris penyerahankan tajaan kepada salah seorang pelajar Fatin Nadzirah Suhaimi diiringi bapa.
“Tajaan yang diberikan berbentuk bayaran yuran pengajian dan juga wang saku sebanyak RM300 sebulan sepanjang tempoh pengajian,” katanya, di sini baru-baru ini.
Selain itu, Ahli Lembaga Pengarah Kolej Ketengah juga telah meluluskan pemotongan yuran penyelenggaraan asrama dan juga yuran pengangkutan bagi semester yang terkesan dengan pandemik yang berjumlah RM 117,000.
Beliau berharap tajaan yang diterima ini dapat memberi manfaat kepada pelajar dalam meneruskan pengajian masing-masing.
“Kolej Ketengah menawarkan Diploma Awal Kanak-Kanak dan beberapa kursus asas namun begitu pada tahun hadapan akan diperkenalkan Ijazah Sarjana Muda Awal Kanak-Kanak dengan kerjasama Universiti Sultan Idris (UPSI) serta enam jurusan lagi antaranya Sijil Kemahiran Kimpalan, Kursus Minyak dan Gas serta Sijil Operasi Ladang.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris (baju merah) bergambar kenang-kenangan bersama pelajar-pelajar yang menerima tajaan.
“Untuk rekod, ketika ini seramai 450 orang penuntut semasa di Kolej Ketengah dan bilangan dijangkakan akan meningkat apabila jurusan baharu diperkenalkan pada tahun hadapan yang menyasarkan 2,000 lulusan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdaftar di Kolej Ketengah,” katanya.
Bagi Nurul Najwa Mohd Mansor, salah seorang penerima tajaan berkata, dia serta keluarganya amat terharu dengan tajaan yang diterima di saat pendapatan keluarga terjejas akibat wabak COVID-19 ini.
“Tajaan ini pastinya memberi kelegaan dalam membantu saya meneruskan pengajian saya di dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang berbaki setahun lagi.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada KHSB kerana telah membuka peluang meneruskan tajaan sebegini, semoga penghargaan ini memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar untuk sama-sama maju jaya dan berdaya saing,” katanya.
Pada sesi tersebut turut diadakan penyampaian penghargaan kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bagi Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak berdasarkan keputusan peperiksaan semester lepas yang terdiri daripada lima pelajar terbaik dari setiap semester yang mendapat keputusan cemerlang iaitu GPA 3.70 hingga 4.00.
-ii-