Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pilihan Raya dan Masa Depan Negara

By 8 Disember 2020Tiada komen5 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Dalam melaksanakan proses pendemokrasian negara, pilihan raya diadakan bagi memilih pemimpin yang bakal menerajui pentadbiran melibatkan semua golongan masyarakat yang layak mengundi menentukan pilihan masing-masing.

Namun demikian, terdapat golongan pengundi yang dianggap tidak serius dalam menjayakan proses ini apabila masih tidak mendaftar sebagai pengundi dan kebanyakkan daripada mereka adalah daripada golongan belia.

MALAYSIAAKTIF berkesempatan menemu bual Profesor Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian, yang hadir semasa program Influencer@JaPen terbitan Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia, di sini bagi mendapatkan pencerahan berkaitan isu ini.

Boleh Prof huraikan bagaimana sebenarnya untuk menggalakkan belia untuk mendaftar sebagai pemilih kerana sebagaimana yang kita tahu masih ramai daripada golongan belia yang masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Tumpuan perlu diberikan untuk menarik minat golongan belia ke atas proses pentadbiran negara, dan kalau kita perhatikan sekarang ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah sedaya upaya berusaha untuk meningkatkan pemahaman dan juga memupuk kepentingan mendaftar sebagai pengundi.

Pelbagai ruang disediakan untuk mendaftar, bermakna tidak ada platform yang boleh dikatakan tidak wujud untuk membolehkan golongan belia ini pergi mendaftar, cumanya sejauh mana mereka tahu kepentingan, hak dan juga tanggungjawab sebagai seorang pengundi yang boleh menentukan perjalanan sebuah negara, kepentingan itulah yang harus kita angkat, tetapi semua ini bergantung kepada bagaimanakah peranan yang dimainkan oleh ahli dan parti politik, masyarakat massa supaya golongan belia ini tidak merasa muak, bosan, kecewa, marah dengan apa yang sedang berlaku sehingga mempengaruhi minat mereka atas proses pendaftaran dan juga mengundi nanti.

Saya rasakan perlu ada satu pendekatan menyeluruh, ia harus bermula dengan pendidikan, media boleh meningkatkan pemahaman, rakan sebaya harus memainkan peranan yang besar, sebagimana pemimpin harus menjadi contoh, tapi akhirnya saya rasakan kesemua ini, proses partisipasi politik bermula daripada keluarga, di mana keluarga harus memastikan anak mereka tidak ketinggalan dalam proses pendemokrasian yang mana mereka memainkan peranan yang cukup besar. Saya percaya jika setiap rumah mengamalkan nilai seperti itu maka kita tidak perlu lagi gusar atau kuatir dengan jumlah yang tidak mendaftar yang semakin meningkat.

Prof Siva (kiri) bersama-sama Pengarah Bahagian Media Siber JaPen Rubaayah Osman selepas program Influencer@JaPen terbitan jabatan tersebut, di sini.

Prof Siva (kiri) bersama-sama Pengarah Bahagian Media Siber JaPen Rubaayah Osman, selepas program Influencer@JaPen terbitan jabatan tersebut.

Alasan yang mengatakan tiada perubahan akan berlaku sekiranya mereka mendaftar sebagai pemilih telah disangkal dalam pilihan raya umum yang lalu, apakah sebenarnya perkara yang boleh kita lakukan lagi untuk meyakinkan golongan ini untuk mendaftar?

Sebahagiannya masih lagi beranggapan bahawa tidak boleh melakukan perubahan, minat ke atas politik itu rendah menyebabkan mereka merasakan bahawa tidak boleh memainkan peranan, jadi saya merasakan bahawa 2018 telah menunjukkan yang mereka boleh memainkan peranan besar, rugilah kepada 4.2 juta yang tidak dapat terlibat dalam proses tersebut, bermakna apa yang boleh kita lakukan selepas ini adalah memastikan bahawa yang tidak mendaftar ini mungkin dijadikan pendaftaran automatik, berwajib selepas mencecah umur 21 dan sekiranya selepas ini berumur 18 tahun, secara automatik mempunyai koordinasi yang bersifat resiprokal saling melengkapi di antara SPR dengan Jabatan Pendaftaran Negara mungkin kita boleh selesaikan supaya pendaftaran tidak lagi menjadi satu isu, tetapi kita juga harus memikirkan satu lagi isu iaitu menggalakkan mereka untuk keluar mengundi supaya peratusan itu tidak rendah.

Apa yang berlaku pada tahun 2018 tidak berlaku pada tahun 2013, tidak berlaku pada tahun 2008, dan tidak berlaku pada tahun 2004, dan kalau kita perhatikan, bahawa mereka keluar mengundi secara bermusim. Apabila ada satu isu besar, mereka merasakan mahu ikut serta, jadi kita tidak boleh melihat pengundian ataupun mendaftar sebagai pengundi ini bersifat bermusim, ia haruslah tidak mengikut keselesaan kita tetapi harus dilaksanakan atas tanggungjawab sebagai seorang warga negara ini.

Apakah hala tuju politik negara apabila terdapat ahli politik yang sesuka hati membubarkan pentadbiran setelah diberi mandat oleh rakyat, pendapat Prof terhadap situasi ini?

Apa yang harus diberikan tumpuan sekarang adalah proses pemulihan daripada krisis COVID-19 di mana kita melihat kita berhadapan dengan bukan sahaja dengan pandemik tersebut dari sudut kesihatan tetapi bagaimana ia juga menggugat kedudukan ekonomi dan juga struktur sosial yang lain, bermakna pemimpin harus memastikan bahawa boleh melakukan gencatan politik seketika dan dalam keadaan yang lebih stabil, lebih menentu, mereka boleh memikirkan bagaimana untuk meraikan proses pendemokrasian, melakukan perubahan ke atas citarasa rakyat dan bukannya diri mereka.

Mereka harus boleh membezakan di antara keselamatan negara dan keselamatan parti politik, di sinilah saya rasakan turut menguji tahap kematangan parti politik dan pemimpin mereka apabila secara berterusan masih lagi menggunakan platform parti politik untuk meraih sokongan hingga mengetepikan mandat yang telah diberikan oleh rakyat maka rakyat akan mula rasa risau, kecewa, bosan dengan apa yang sedang berlaku, bermakna pemimpin harus menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab.

Saya berpegang kepada prinsip merakyatkan kepimpinan, pemimpin harus mengutamakan rakyat bukan diri mereka ataupun personaliti lain dalam konteks politik kepartian, yang harus diutamakan ketika selepas menang sesuatu pilihan raya adalah agenda kenegaraan bukan agenda parti politik atau mengatur semula mengikut percaturan politik masing-masing. Jika perubahan kerajaan berlaku setiap enam bulan, bermakna kita terus berhadapan dengan polemik dan juga cabaran konteks keadaan yang tidak stabil dan tidak menentu dan ini tidak sihat untuk sebuah negara yang sedang cuba untuk maju dan juga bergerak ke hadapan, untuk sebuah negara yang sedang bersaing dengan dunia lain ini tidak sesuai untuk sebuah negara yang mahu menjadi contoh kepada yang lain, bermakna kita dalam meraikan proses pendemokrasian kita harus memegang amanah yang telah diberikan oleh rakyat dan menggunakan tempoh masa lima tahun sekali untuk menguji apa sahaja yang cuba kita sampaikan.

Kesesuaian untuk mengadakan pilihan raya ketika negara sedang dilanda pandemik ketika ini.

Sudah pasti tidak sesuai untuk melaksanakan pilihan raya ketika kita sedang berusaha untuk memastikan keadaan ekonomi pulih, keadaan kesihatan jauh lebih baik. Dalam kita diuji, kita mahukan semua bertanggungjawab, kita boleh mengetepikan perbezaan idealogi politik, agama, etnik, gender, kepercayaan sekalipun dan memeberikan tumpuan kepada proses untuk bertanggungjawab secara bersama-sama, menyeluruh agar tidak menggugat apa yang telah kita bina selama ini, pihan raya boleh diadakan ketika masa yang jauh lebih sesuai kerana pada masa ini kita harus pastikan tumpuan sekarang adalah agenda rakyat tidak terpinggir.

-SH

Tinggalkan komen anda