Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

TMYIC Pemangkin Pembangunan Belia

By 31 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto:  Nurezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar) 

MUAR, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Daerah Muar bakal menjadi pusat memangkin pembangunan potensi belia dan masyarakat sekitar dengan pelbagai kegiatan yang bertemakan youth and society-based akan dibangunkan di sini, tidak lama lagi.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Datuk Reezal Merican Naina Merican, para belia di negeri ini sungguh bertuah kerana Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sentiasa prihatin dengan keperluan mereka.

“Alangkah bertuahnya anak-anak muda dan belia di negeri ini kerana TMJ sangat prihatin dan sentiasa bersedia untuk mengetuai serta memimpin semua aktiviti belia di sini.

“Pembinaan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di daerah ini akan menjadi penanda aras kepada pembangunan belia yang holistik dalam usaha melahirkan generasi muda berpotensi dan berfikiran maju,”katanya lagi ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), di sini, baru-baru ini.

Amali Mad Som berasa teruja dengan pembangunan baharu yang bakal dibina di daerah ini.

Amali Mad Som berasa teruja dengan pembangunan baharu yang bakal dibina di daerah ini.

Tambah beliau, TMJ turut berkongsi pandangan tentang pendekatan-pendekatan yang bersifat youth-centric yang sememangnya diperlukan oleh anak-anak muda dan belia dalam menghasilkan percambahan teknologi yang lebih menarik.

Seorang penduduk tempatan yang ditemui, Amali Mad Som, 25, berkata beliau amat teruja dengan pembaharuan yang bakal dibangunkan untuk kemudahan anak-anak muda di sini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada Tunku Mahkota Johor kerana membantu merealisasikan kewujudan pusat yang bakal menjadi salah satu mercu tanda terhadap pembentukan ekosistem dalam menjalinkan hubungan dengan masyarakat sekeliling yang secara tidak langsung mampu memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya.

Ahmad Aliuddin Mohd Amin berharap pembangunan ini mampu membuka ruang kerjasama antara Jabatan dan Agensi Kerajaan lain dalam menjayakan program-program pada masa akan datang.

Ahmad Aliuddin Mohd Amin berharap pembangunan ini mampu membuka ruang kerjasama antara Jabatan dan Agensi Kerajaan lain dalam menjayakan program-program pada masa akan datang.

Menurut Ahmad Aliuddin Mohd Amin, 33, pembinaan baharu di Stadium Sultan Ibrahim Muar ini dapat membuka ruang kerjasama antara Jabatan dan Agensi Kerajaan lain dalam menjayakan program-program pada masa akan datang seperti sambutan Hari Sukan Malaysia peringkat daerah Muar.

Majlis Pecah TMIYC yang telah disempurnakan oleh Tunuku Mahkota Johor ini merupakan yang kedua di negeri ini dengan keluasan 11 hektar yang akan merangkumi kemudahan seperti padang bola sepak sintetik, lampu limpah, gelanggang extreme, hab e-sukan, gelanggang futsal berbumbung serta asrama untuk kemudahan pengunjung.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani.

-NI-

 

Tinggalkan komen anda