Laporan/foto: Mohd Ridhuan (Kuala Kangsar)/Fairus Razali (Ipoh)
PENGKALAN HULU, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Perak terus memperkasa kaedah penyaluran maklumat kepada rakyat biarpun berdepan dengan kekangan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
Penolong Pengarah JaPen Perak Hasan Ashaari Abu Bakar, berkata pihak jabatan komited dalam memasarkan maklumat kerajaan agar rakyat terus cakna akan setiap informasi yang disampaikan.
“Menjadi tanggungjawab JaPen sebagai medium perantara kerajaan dengan rakyat untuk menyampaikan maklumat dalam apa jua cara yang bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya ketika dihubungi, di sini baru-baru ini.
Selain bergerak membuat hebahan dan edaran bahan penerbitan menerusi program Info on Wheel (IoW), JaPen turut bertanggungjawab memasang sepanduk dan gegantung berkaitan kempen yang dijalankan.
Menurut pegawai lapangan JaPen Perak Zolkaiza Muhamad, amanah diberikan digalas sehabis baik walaupun terpaksa bertugas sehingga lewat malam.
“Pemasangan sepanduk dan gegantung ini perlu dilakukan dalam keadaan selamat apatah lagi cuaca panas pada siang hari selain keadaan jalan raya menjadi cabaran kepada para petugas,” katanya ketika selesai membuat pamasangan sepanduk berhampiran Kompleks Imigresen Bukit Berapit, semalam.
Hebahan sebegini nyata memberi kesedaran kepada rakyat walaupun hingga ke pelosok kampung.
Penduduk setempat Fauzi Md Razi, 50, ketika ditemui berkata JaPen telah mengambil inisiatif sewajarnya dalam membuat hebahan kepada rakyat.
“Saya berharap tidak ada isu mengatakan maklumat tidak sampai sedangkan pelbagai cara telah diambil untuk makluman orang awam,” jelasnya.
-SH