Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Bekalan Vaksin Fasa Pertama Kini Tiba

By 21 Februari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Kumpulan Sasar akan dimulakan pada 26 Februari ini setelah kerajaan menerima bekalan vaksin sebanyak 312,390 dos dari Syarikat Pfizer-BioNTech, hari ini.

Tiga peringkat program imunisasi ini melibatkan petugas barisan hadapan, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta penduduk di Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas di mana fasa pertama akan bermula Februari hingga April ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin, memaklumkan kerajaan kini akan membuat persiapan awal untuk memulakan program tersebut memandangkan Vaksin Pfizer-BioNTech dari Belgium telahpun sampai.

“Vaksin-vaksin yang telah sampai hari ini akan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan vaksin di seluruh negara dan vaksin ini juga telah dihantar melalui kenderaan darat dari Singapura ke Johor dan vaksin ini dijangka tiba di Johor bahru pada pukul 2.00 petang, manakala vaksin ini juga akan dihantar ke Pulau Pinang menggunakan pesawat dan dijangka tiba pada pukul 6.00 petang ini.

“Kerajaan telah membuat keputusan untuk awalkan permulaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada Rabu (24 Februari) ini di mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan akan menerima suntikan vaksin pertama di Klinik Kesihatan Putrajaya selepas Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya pada sesi sidang media penerimaan vaksin tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Khairy, setakat ini jumlah petugas barisan hadapan yang telah mendaftar untuk menerima vaksin bagi fasa pertama adalah seramai 271,802 orang daripada sektor kesihatan dan sektor-sektor lain.

“50.3% daripada jumlah tersebut adalah anggota perubatan dan kesihatan manakala selebihnya adalah petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit dan agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pegawai Penjara dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba, berkata dengan ketibaan vaksin fasa pertama ini bermakna kerajaan sudah boleh memulakan program imunisasi ini.

“Dengan sokongan semua pihak, dapat kita seterusnya melaksanakan Pelan Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 di mana langkah ini sangat penting kepada negara kerana ianya dapat membuktikan kejayaan program ini.

“Melalui program ini juga kita akan mendapat beberapa faedah antaranya pertama, kerjasama dengan syarikat Pfizer-BioNTech dalam fasa pemantauan dapat dilaksanakan, kedua menjadikan negara kita sebagai pengeluar untuk picagari Low Dead Volume (LDV) untuk diedarkan di peringkat antarabangsa serta teknologi penghantaran untuk kita kuasai,” katanya.

Rakaman rangkuman video ketibaan vaksin ini boleh didapati di pautan https://www.youtube.com/watch?v=WabjVqUPGKE

Tinggalkan komen anda