Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

COVID-19: Dua Lagi PKRC Akan Dibuka di Johor

By 21 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nasharuddin Mohd Shah/Unit Jurufoto JaPen (Johor)

PASIR GUDANG, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan membuka lagi dua buah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Negeri Johor, menjadikannya tiga buah termasuk PKRC di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

Menurut Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, dua buah PKRC yang akan dibuka ini masih pada peringkat awal permohonan bagi mendapatkan kelulusan yang membabitkan dua lokasi iaitu di Iskandar Puteri dan di Kota Tinggi.

“PKRC yang akan diwujudkan ini adalah PKRC swasta yang pertama di Johor bagi tujuan penempatan pesakit COVID-19 bukan warganegara.

“Pusat ini akan diletakkan di hotel-hotel sekitar Iskandar Puteri dan asrama pekerja di Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui selepas meninjau PKRC di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, PKRC yang dijangka akan mula beroperasi pada bulan Mac ini mampu menampung keperluan 250 pesakit pada satu-satu masa.

“Para pesakit yang ditempatkan di sini perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Kos kemasukan ke PKRC ini akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau pesakit itu sendiri di mana pendatang tanpa izin (PATI) akan diletakkan di sini jika pusat tahanan penuh,” ujarnya.

Hasni (kanan) sempat beramah mesra dengan salah seorang pesakit di PKRC Johor Bahru, di sini.

Hasni (kanan) sempat beramah mesra dengan salah seorang pesakit di PKRC Johor Bahru, di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Johor turut merakamkan ucapan terima kasih kepada sektor-sektor swasta yang prihatin dengan menghulurkan sumbangan kepada PKRC Johor Bahru melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berupa barangan keperluan harian di antaranya sejadah dan penapis air.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang komited dalam menjalankan tugas bagi memastikan operasi pusat ini berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Hasni berharap, kemudahan-kemudahan di PKRC ini seperti ruang solat khususnya perlu diperbaiki bagi persediaan menyambut bulan Ramadan yang akan datang.

“Saya ingin menasihati rakyat di negeri ini agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Manakala para pesakit yang ditempatkan di PKRC Johor Bahru ini hendaklah sentiasa peka dan mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan di sini dari masa ke semasa,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Vidyananthan Ramanadhan dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Aman Rabu.

-NI

Tinggalkan komen anda