Laporan/foto: Mohd Afnan Hakimi (Marang)
MARANG, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2021 adalah satu inisiatif oleh Kerajaan Negeri Terengganu dalam memahami denyut nadi rakyat yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 iaitu golongan B40.
BERKAT 2021 yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman semasa penyerahan 20 buah telefon pintar kepada pelajar-pelajar terpilih di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, pagiĀ kelmarin bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula dari awal sesi persekolahan dibuka.
Ariffin Deraman dalam kenyataannya berkata insentif yang diumumkan ini merangkumi sumbangan 1600 tablet berserta kad tambah nilai bernilai RM100.
āBantuan seumpama ini akan memberi keringanan kepada lebih ramai pelajar yang tidak berkemampuan di Daerah Marang khususnya bagi melicinkan PdPR serta meringankan beban ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka dapat belajar dengan sempurna dalam sesi pembelajaran norma baharu ini,ā kata beliau ketika ditemui di Pusat Internet Akses Rakyat DUN Alur Limbat, di sini baru-baru ini.
Katanya, dengan inisiatif BERKAT 2021 diharap pelajar-pelajar dan keluarga yang menerimanya akan memanfaatkan sumbangan ini dengan sebaik-baiknya dalam memastikan silibus pembelajaran tidak tertinggal.
Beliau turut menyatakan beberapa cadangan pembangunan pendidikan yang telah diutarakan antaranya membenarkan pelajar-pelajar yang mempunyai masalah talian internet untuk menggunakan akses internet di Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) berdekatan yang telah dibangunkan di seluruh Negeri Terengganu.
Majlis ringkas penyerahan ini turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pegawai Pendidikan Daerah Marang Mohamad Nawawi Rani yang sama-sama menyaksikan temu ramah secara dalam talian bersama pelajar-pelajar yang telah menerima sumbangan telefon pintar ini pada minggu lepas.
-ii-