Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Keputusan kerajaan membenarkan operasi pusat cuci kereta berkuatkuasa 4 Februari lepas nyata melegakan banyak pihak.
Bagi Ahmad Wazir Abdul Wahab, 42, pemilik pusat cuci kereta yang nyata lega dengan kebenaran yang diberikan oleh kerajaan ini meskipun beroperasi dengan Procedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
“Memang saya terpaksa menanggung kerugian sebelum ini ekoran tiada kebenaran dari kerajaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)2.0 di samping terpaksa menanggung sewa premis dan bayaran bil utiliti.
Sebelum PKP 2.0 dikuatkuasakan sebelum ini, perniagaan saya mampu memperolehi RM200 hingga RM500 sehari,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, di sini baru-baru ini.
Tambah Ahmad Wazir, walaupun pendapatan agak berkurangan sejak PKP2.0 dilaksanakan namun kebenaran pusat cuci kereta beroperasi sudah memadai untuk menampung bayaran sewa dan lain-lain.
“Saya juga sentiasa pastikan premis dan pekerja saya mematuhi SOP yang telah ditetapkan itu,” ujarnya lagi.
Di samping itu, Mohd Ariff Abdullah Zawawi, 22, pekerja pusat cuci kereta, berkata dia bersyukur kerana dapat kembali bekerja.
“Gaji saya dibayar secara harian, jadi jika saya tidak bekerja maka tiadalah pendapatan pada hari tersebut.
“Walaupun pelbagai inisiatif yang telah diberikan kepada saya seperti Bantuan Sara Hidup dan i-Sinar namun komitmen bulanan saya juga tinggi untuk dibayar setiap bulan,” katanya.
Manakala bagi Amylia Mohd Ravi, 25, pula sangat bersetuju dengan kebenaran kerajaan pusat cuci kereta dibenarkan.
“Keadaan cuaca yang tidak menentu, sekejap hujan dan kadang kala panas menyebabkan kereta saya mudah kotor.
“Saya dan suami juga tiada masa untuk membasuh kereta sendiri kerana kami bekerja dan selain komitmen dengan urusan keluarga jadi keputusan ini adalah sangat baik sekali,” ujarnya.
-ii-