Laporan/foto: Jeanne J. Som/Vicky Sylvister Matanjang (Kota Kinabalu)
PENAMPANG, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Pembinaan Empangan Kaiduan di Penampang akan menjejaskan kehidupan alam sekitar di kawasan itu.
Demikian menurut Ahli Dewan Negara merangkap Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Penampang Datuk John Ambrose yang berpendapat terdapat banyak kesan negatif yang perlu dihadapi sekiranya projek itu dilaksanakan.
“Kita seharusnya mengambil kira kehidupan masyarakat dan persekitaran di daerah ini yang berkemungkinan terjejas teruk daripada pelbagai aspek.
“Selain itu, kawasan tersebut boleh dijadikan sebagai pusat peranginan seterusnya memberikan peluang pekerjaan bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Menteri Luar Bandar Malaysia Datuk Abdul Latiff Ahmad yang turut menentang projek pembinaan empangan itu,” katanya dalam Majlis Penyerahan Bakul Makanan di Dewan Kampung Gawir Madsiang, di sini semalam.
Menurut John, pembahagian bakul makanan akan dijalankan selama lapan hari menyasarkan seramai 7,905 orang golongan B40, 7,837 penduduk yang terjejas CCOVID-19, manakala 974 orang yang berdaftar di bawah e-Kasih telah menerima bantuan selain 945 penduduk lain menerima bantuan secara pandu lalu.
Turut hadir, Pegawai Daerah Penampang Henry Idol, Pembantu Pegawai Daerah Penampang Stanley Sikolis dan Noumi J. Trend, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Moyog Joe Sulaiman dan Pegawai Penerangan Daerah Penampang Mohd Ishak Ag. Besar.
-SH