Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)
MEMBAKUT, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Golongan petani di negeri ini digesa memanfaatkan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) untuk menjana kualiti pertanian dan alam sekitar.
Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, mendedahkan skim yang disediakan oleh Jabatan Pertanian itu berjaya meletakkan petani Sabah antara yang paling ramai dalam senarai pensijilan myGAP di Malaysia.
“MyGAP adalah penjenamaan semula bagi Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) sejak tahun 2002 dan pada tahun lalu, Sabah telah berjaya mendapat 20 pensijilan myGAP dan tujuh daripadanya merupakan petani atau peserta dari daerah Beaufort.
“Namun paling membanggakan, tahun ini daripada 50 penerima sijil di Sabah, 17 penerima adalah petani di daerah ini, maka harapan saya terhadap seluruh masyarakat petani di negeri ini agar memberi perhatian terhadap piawaian kualiti termasuk kualiti tanaman, alam sekitar dan kualiti petani itu sendiri.
“Piawaian yang tinggi ini dapat menjamin keselamatan makanan yang kita makan, keselamatan petani itu sendiri dan juga keselamatan alam sekitar,” ujarnya selepas menyerahkan Papan Tanda MyGAP kepada pengusaha tanaman padi yang mendapat pengiktirafan Pertanian Malaysia, di sini semalam.
Terdahulu, Arifin yang dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke Bahagian Pedalaman Bawah dan Pedalaman Atas, melawat Rumah Anak Yatim dan Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yacobkhan dan menyampaikan Bantuan Makanan COVID-19 kepada para pelajar selain menyampaikan Bantuan Makanan COVID-19 kepada golongan asnaf.
Turut hadir, Pegawai Daerah Beaufort Abdul Iman Basirun, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Saifulzaman Sangul, Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Sabah Jamaluddin Lani serta Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Ramlan Awang Ali.
-SH