Laporan/foto: Syed Putra Syed Ambon/Fatin Nabila Muktar (Padang Terap)
KUALA NERANG, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Enam individu dikenakan kompaun ingkar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) RM1,000 dalam satu operasi di sekitar Pekan Kuala Nerang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar, berkata operasi tersebut memeriksa beberapa individu serta premis yang didapati melanggar syarat PKP.
“Enam individu telah dikenakan tindakan kompaun dan seorang lelaki dalam lingkungan umur 21 tahun yang dikenakan kompaun juga ditahan kerana didapati memiliki serbuk putih yang disyaki dadah jenis methaphetamine (syabu).
“Pihak polis akan teruskan melaksanakan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP ini dengan lebih kerap dan tiada sebarang kompromi dengan mana-mana individu yang ditahan,” katanya ketika mengetuai operasi tersebut, di sini.
-SH