Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohd Afiq Ahmad Zaid (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Segelintir ibu bapa yang ditemui di sekitar daerah sini meluahkan rasa kecewa apabila mendapati barangan keperluan sekolah melonjak naik di pasaran sebaik sahaja pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai pembukaan semula sekolah secara bersemuka bermula 1 Mac ini.
Tinjauan di lapangan mendapati, kebanyakan ibu bapa sudah mula membeli barangan keperluan sekolah anak masing-masing dan mendapati harga pakaian seragam sekolah, beg serta kasut melonjak naik di pasar raya dan kedai-kedai di sekitar sini.
Menurut Nur Dalilah Abdul Latif, 39, yang bekerja di bahagian sektor swasta, berkata beliau mula membeli pakaian sekolah dan peralatan persekolahan anaknya selepas pengumuman KPM mengenai pembukaan sekolah bermula Isnin depan.
“Pada tahun ini anak sulung saya akan menduduki tahun satu dan anak bongsu pula masih di tadika, segala persiapan dan kelengkapan kesemuanya perlu dibeli,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya terkemuka, di sini semalam.
“Meskipun ketika ini masih dalam situasi pandemik tetapi harga kelengkapan sekolah naik melonjak tidak seperti kebiasaan membuatkan kami berasa sedih kerana perlu menyediakan bajet yang besar untuk memastikan anak-anak mendapat kelengkapan sekolah yang sempurna,” katanya.
Di samping itu, Che Amirul Che Ku Salleh, 34, yang merupakan seorang penjawat awam dan mempunyai anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal bersyukur apabila kerajaan telah memberikan pelbagai bantuan dan insentif yang dapat meringankan sedikit beban ibu bapa bagi membeli barangan keperluan sekolah.
“Saya sangat bersyukur apabila kerajaan memberikan pelbagai bantuan dan insentif kepada setiap isi rumah yang berkelayakan.
“Meskipun ketika ini masih dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ia tidak menyukarkan ibu bapa untuk membeli barangan keperluan persekolahan,” katanya.
Tambah Che Amirul, beliau sedikit terkilan kerana sewajarnya para peniaga memikirkan keadaan kewangan segelintir ibu bapa yang kini menghadapi fasa yang sukar akibat penularan COVID-19.
“Kita sedia maklum, sesetengah individu ada yang kehilangan pekerjaan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
“Sehubungan dengan itu, seharusnya para peniaga tidak menaikkan harga barangan keperluan sekolah seperti baju seragam, kasut, peralatan sekolah dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang guru, Nur Fatin Mohd Yusri, 27, yang kini berkhidmat di Sekolah Pondok Tengah Jaya di sini mengharapkan pemantauan secara berterusan oleh pihak yang berkaitan bagi memantau harga jualan berkaitan barangan keperluan persekolahan.
“Jika dilihat harga barangan berkaitan keperluan sekolah ketika PKP dan hari ini sangat jauh bezanya kerana sebaik sahaja pengumuman pembukaan sekolah bermula Mac ini, harga keperluan sekolah terus melonjak naik.
“Ini amat mendukacitakan kerana kebanyakan anak-anak murid di sekolah saya majoriti adalah di bawah golongan B40 dan segelintir terdiri daripada golongan asnaf yang secara tidak langsung membebankan mereka untuk mendapatkan kelengkapan sekolah baharu pada tahun ini,” katanya.
KPM telah mengumumkan pembukaan semula sekolah dalam dua fasa.
Sekolah kebangsaan akan dibuka bermula 1 Mac depan melibatkan murid sekolah rendah Tahun 1 dan 2 serta Pra sekolah manakala, murid Tahun 3, 4, 5 dan 6 pula akan hadir ke sekolah bermula pada 8 Mac 2021.
-ii-