Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)/RELA Daerah Seremban
SEREMBAN, 24 Febuari (Malaysiaaktif) – Bagi memastikan kesiapsiagaan petugas barisan hadapan di Negeri Sembilan dalam menangani pandemik COVID-19, golongan ini yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi di negeri ini akan menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata vaksin berkenaan dijangka tiba di negeri ini hari ini dan beliau bersedia menerima suntikan dalam kumpulan pertama sekiranya diminta oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada petugas barisan hadapan sebagai kumpulan pertama yang menerima vaksin dan jika diputuskan saya termasuk dalam kumpulan pertama, saya telah bersedia,” katanya.
Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Seremban Razali Hassan, turut menyatakan bahawa beliau dan anggotanya telah bersiap-sedia untuk menerima suntikan vaksin ini dan senarai nama anggota yang bersetuju untuk menerima suntikan telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri.
“Pemberian vaksin fasa pertama kepada petugas barisan hadapan adalah wajar kerana mereka merupakan golongan yang berisiko dan perlu berhadapan dengan masyarakat setiap hari secara bersemuka” katanya.
Malaysia telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada hari ini, melalui tiga fasa bermula dengan fasa satu dari Febuari hingga April (Februari-April 2021) untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
-FF